top of page
  • admin

Beri Peluang PH Jadi Kerajaan Semula – Anwar


KUALA LUMPUR, 4 Okt – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim meminta agar rakyat memberikan peluang semula kepada gabungan tersebut untuk kembali menjadi kerajaan.


Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan, PH memerintah selama 22 bulan sebelum ini, namun ketika itu pemerintahan diketuai oleh individu lain.


“Saya rayu kepada rakyat untuk beri peluang tukar (kepada PH). Kata dulu dah bagi 22 bulan (perintah), tetapi masa itu ketuanya siapa?


“Sekarang pula kalau menang ketuanya siapa? Janganlah samakan,” katanya ketika berucap di Jelajah Rakyat Bandar Tun Razak anjuran Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini pada Isnin.


Turut hadir, Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Setiausaha Pengelola, Zahir Hassan; Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran dan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Che Zam Hamzah.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN menjelaskan, apa yang dikesalkan adalah fahaman rakyat ‘diracun’ apabila ada yang menyatakan KEADILAN merupakan parti bercampur serta bekerjasama dengan DAP.


“Jadi ada yang beranggapan walau seburuk-buruk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pun, sekurang-kurangnya mereka tetap Melayu Islam, itu fahaman yang diracun.

“Saya nak jelaskan di sini, rakyat perlu lihat dasar kita apa dan tengok sendiri apa pendirian (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke Siew Fook dan (Presiden Parti Amanah) Mohamad Sabu,” jelasnya.


Beliau menambah, kuasa perlu dikembalikan kepada rakyat.


“Kita boleh lawan lebih berkesan jika rakyat bangkit,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar turut mempersoalkan, mana lebih bahaya sama ada harga barang naik, rasuah yang banyak atau DAP.


Jelasnya, DAP adalah sahabat dalam satu pasukan yang mana segala dasar dibuat bersama.

“Kalau keputusan dibuat dan saya sebagai pengerusi tak setuju, maka tak jalan juga.


“Saya kalau nak buat keputusan, mesti bersikap adil dan ihsan, itu adalah prinsip kita.

“Maknanya negara ini setelah merdeka lebih 60 tahun mesti ‘peluk’ dan mesti menganggap semua (rakyat) itu sebagai satu keluarga,” katanya.

bottom of page