top of page
  • newsatmy

Bersatu Johor Henti Politik Berkenaan Kuasa, Fokus Sepenuhnya Nyawa Rakyat.

25 Mei 2021

SKUDAI, JOHOR: Impak pandemik COVID-19 telah meningkatkan bilangan golongan B40 di negara apabila ada yang kehilangan pekerjaan dan mengalami susut sumber pendapatan, malah golongan pelajar juga turut terkesan.


Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Negeri Johor segera mengambil tindakan setelah dititah oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi jajahan takluk Johor Darul Takzim pada 20 Mei 2021dengan mengarahkan semua jentera untuk menumpukan sepenuhnya kekuatan dan sumber dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan memberi bantuan dari segi makanan dan barang keperluan kepada pelajar-pelajar kolej di Universiti Teknologi Mara (UTM) Skudai.


BERSATU Johor menjadikan bilik gerakan dan pejabatnya di seluruh negeri itu sebagai pusat pendaftaran vaksin dan membantu rakyat terhimpit mendepani COVID-19.


Pengerusi Sekretariat Khas COVID-19 BERSATU Johor, Rasman Ithnain, berkata semua bilik gerakan dan Pejabat BERSATU bahagian serta cawangan negeri itu akan menghentikan gerak kerja politik bagi menumpukan usaha memerangi COVID-19 dan membantu rakyat sepenuhnya.


“Pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera didapati masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang sahaja berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin,”


“Bilik Gerakan COVID-19 seluruh negeri akan memberikan bantuan kepada semua golongan warga emas termasuk menghantar mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),”


“Selain itu, satu talian ‘hotline’ (013 580 0016) diperkenalkan untuk membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah pengangkutan untuk ke pusat vaksinasi, khususnya warga emas yang telah mendapat temujanji untuk vaksinasi,”


Beliau berkata demikian selepas penyerahan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelajar dan kakitangan UTM, Skudai.


“BERSATU Johor akan menggerakkan kumpulan sukarelawan di seluruh negeri bagi mengagihkan bantuan makanan dan keperluan kepada keluarga terjejas,”


"Kita bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu pengagihan makanan jika diperlukan," tambahnya lagi.


Beliau berkata, BERSATU Johor menggerakkan kempen COVID-19 di negeri itu, membabitkan 500,000 bahan kempen termasuk kain rentang, poster dan risalah bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai wabak dan vaksinasi.


-PN Online

bottom of page