top of page
  • Writer's pictureNihaba

BERSATU Johor Minta Kerajaan Perjelas Keistimewaan Diperoleh Najib

12 Disember 2021

JOHOR BAHRU – Kerajaan diminta menjelaskan keistimewaan yang diberi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd. Solihan Badri mempersoalkan sama ada keistimewaan itu diberi mengikut lunas undang-undang atau atas dasar lain.


Katanya, keistimewaan itu harus dipastikan sama ada diberi berdasarkan budi bicara, mengenang jasa dan mengikut kuasa pentadbiran ataupun mengguna budi bicara menerusi akta ditetapkan.

“Selain soal keistimewaan menangguh hukuman dan memiliki pasport antarabangsa, kerajaan wajar menyemak hak beliau bebas bergerak dalam negara dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

“Semua ini mesti dibezakan sama ada ia satu keistimewaan ataupun hak mutlak yang dijamin atau dilindungi undang-undang.

“Jika keistimewaan kepada Najib diberi tanpa menggunakan kuasa undang-undang, maka, keistimewaan itu mesti ditamatkan serta-merta kerana ia bakal memberi pelbagai impak buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antaranya impak itu, kata Mohd. Solihan, mencetus persepsi buruk terhadap kewibawaan sistem tadbir urus dan perundangan negara, menjejaskan institusi kehakiman dan Parlimen serta mencalarkan imej negara dan politik Malaysia pada kaca mata rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa.


Sehubungan itu kerajaan perlu menamatkan isu keistimewaan dalam kes berkenaan dengan telus, tegas dan serta-merta bagi mengelak persepsi menjadi lebih buruk.

“Kes Najib mendapat liputan media di seluruh dunia dan ini memberi impak mega kepada imej serta kewibawaan Malaysia. Ini juga menjejaskan keyakinan pelabur dan sokongan antarabangsa terhadap negara,” ujarnya.


Mohd. Solihan bagaimanapun mengakui sistem pentadbiran jenayah di negara ini membenarkan penangguhan hukuman di bawah undang-undang sedia ada dan ia perlu dihormati.

“Namun, ini tidak bermakna Najib yang telah didapati bersalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan seterusnya menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dianggap bersih serta tidak bersalah.

“Hakikatnya, status bekas Perdana Menteri itu seperti yang telah diputuskan kedua-dua mahkamah adalah bersalah dan disabitkan atas semua pertuduhan,” jelasnya.

bottom of page