• Arissa Azman

BERSATU Kelantan Yakin Agong Mampu Selesai Kemelut Politik Negara

19 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: BERSATU Kelantan percaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mampu merungkai kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini terutama melibatkan pelantikan Perdana Menteri kesembilan.


Sinar Harian melaporkan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, semua pihak diminta bersabar dan memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mencari keputusan terbaik.


“Kini kuasa memilih Perdana Menteri baharu (kesembilan) berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.


“Seri Paduka Baginda boleh memilih mana-mana ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti (ahli Parlimen).


“Sekiranya tiada ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti, Seri Paduka Baginda boleh memilih seorang ahli Parlimen yang mendapat sokongan terbanyak berbanding sokongan lain untuk menjadi Perdana Menteri baharu,” katanya.


Menurutnya, BERSATU Kelantan berharap Perdana Menteri yang dipilih itu selari dengan kehendak dan harapan rakyat.


Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan itu dibuat atas paksaan oleh politikus daripada parti pembangkang yang ‘mabuk’ kuasa.


Katanya, golongan itu lebih mementingkan percaturan kuasa daripada membantu menangani masalah rakyat yang kian terhimpit dengan serangan pandemik Covid-19.


“Saya percaya jika Muhyiddin dan kerajaan PN diberi ruang untuk terus mentadbir, kedua-dua masalah itu akan dapat diselesaikan.


“Dengan inisiatif program vaksinasi secara agresif sedang dijalankan akan dapat mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat menjelang November ini sekali gus dapat meredakan masalah pandemik yang sedang melanda,” katanya.



--PN Online