top of page
  • newsatmy

BERSATU, PAS, Gerakan akan mula runding kerusi PRU-15

5 Mei 2021


JOHOR BAHRU: BERSATU, PAS dan GERAKAN akan memulakan rundingan pengagihan kerusi dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di negeri ini.


Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata rundingan itu akan dimulakan sebaik mendapat lampu hijau dari Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


"BERSATU Johor, PAS dan GERAKAN akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi pembahagian kerusi sebaik sahaja pucuk pimpinan memberi kebenaran.


"Setakat ini kami masih belum mempunyai formula agihan berapa yang akan setiap parti dapat.


"Namun kami akan pastikan perbincangan dilakukan dengan strategi terbaik dan semua parti akan berpuas hati," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majis berbuka puasa anjuran BERSATU Johor dan Kelab Media Johor (KMJ), malam tadi.


Ditanya sama ada UMNO Johor akan menyertai rundingan itu berikutan BERSATU Johor menyokong parti berkenaan menubuhkan kerajaan negeri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari tahun lalu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan parti berkenaan.


Bagaimanapun, katanya tiada rundingan dilakukan bersama UMNO Johor pada masa ini.

"Apatah lagi maklum balas UMNO kebelakangan ini lebih banyak menghentam BERSATU dan pemimpin kami selain secara terbuka menyatakan mahu memutuskan hubungan.


"Jika lihat kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pun memberi gambaran tiada kerjasama dengan PN.


"Maka PN Johor bersiap sedia menghadapi PRU-15 sama ada persaingan satu lawan satu atau tiga penjuru, kami akan bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya.


-Berita Harian

bottom of page