top of page
  • Writer's pictureNizam

BERSATU Perak nafi tolak permohonan keahlian Paul Yong

13 Januari 2022

IPOH: Dakwaan ahli-ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) tidak diterima sebagai ahli BERSATU Perak tidak benar.


Setiausaha BERSATU Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya juga menafikan parti itu menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebagai ahli.


Menurutnya, Paul Yong didaftarkan di Bahagian Batu Gajah manakala seorang lagi iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam didaftarkan di Bahagian Ipoh Barat.


Katanya, BERSATU pernah memberikan 500 borang keahlian kepada PKN untuk mendaftar keahlian namun tidak semua borang dikembalikan dan hanya sebilangan kecil sahaja diterima.


“Kita tidak ada masalah mereka nak sertai parti mana kerana itu terpulang kepada mereka namun jika mahukan jawatan selepas jadi ahli, BERSATU bukan tempatnya sebab pemimpin yang ada sekarang menang ketika pemilihan.


“Setahu saya, kita tak tolak sesiapa pun nak jadi ahli, malah ADUN Tronoh dan ADUN Buntong kita sudah terima mereka sebagai Ahli Bersekutu sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.


Beliau mengulas dakwaan Setiausaha PKN Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail ramai ahli PKN menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana tidak diterima masuk ke dalam BERSATU

bottom of page