top of page
  • newsatmy

Bersatu tidak setuju defisinasi lompat parti, minta perhalusi

11 April 2022

BERSATU tidak setuju jika seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa juga sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta, Presidennya, Tan Sri Muhyiddih Yassin.


Katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat dari parti atau meninggalkan partinya.


‘’Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti atau kerana dengan izin cross the floor atau kerana menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi oleh pemimpin parti lalu dipecat dari partinya, atau kerana partinya telah lari daripada landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.


‘’Keempat-empat situasi ini adalah berbeza. Kalau undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim. Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,’’ katanya Di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan, sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun.


‘’Tetapi seorang Ahli Parlimen yang menyuarakan kebenaran dan dipecat oleh partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta. Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil? Is this fair?,’’ katanya.


Muhyiddin berkata, sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.


‘’Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita. Dengan izin, ahli parlimen yang mewakili kehendak rakyat akan dibisukan dan didiamkan oleh cabbal yang mengawal parti politik. Kita mendahulukan kepentingan parti politik sebelum rakyat.


‘’Oleh yang demikian, sekiranya Rang Undang-Undang ini diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, saya mencadangkan supaya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang anti lompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya,’’ katanya.


Beliau juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang anti lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen.


‘’Dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan kita yang paling utama mestilah untuk menegakkan hak dan keadilan. Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai Ahli Parlimen adalah penjaga atau dengan izin, custodian, kepada Perlembagaan dan undang-undang.


‘’Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati. Justeru saya menyokong Rang Undang-Undang ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti,’’ katanya.


Muhyiddin menegaskan, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.


‘’Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang,’’ katanya.

bottom of page