top of page
  • newsatmy

Bijak mengurus kewangan, bezakan keperluan dan kehendak

10 Februari 2021

KOTA KINABALU: Rakyat perlu bijak dalam mengurus kewangan dengan membezakan keperluan dan kehendak terutamanya ketika membuat pembelian menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.


Penaung Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, Datuk Amisah Yassin, berkata pengguna haruslah bijak ketika berbelanja dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan dan promosi yang melampaui batas kemampuan diri sendiri.


“Pengguna haruslah mengambil langkah untuk berjaga-jaga dan tidak berbelanja tanpa memikirkan ianya kehendak atau keperluan kerana boleh memberi kesan kepada pengguna sendiri. “Dalam perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, pasti ada yang ingin berbelanja lebih daripada biasa, tetapi untuk menjadi seorang pengguna yang bijak, utamakan perkara yang perlu dan keperluan agar tidak menyesal di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.


Menurutnya, situasi ekonomi di negara ini berada dalam tahap yang tidak begitu baik dengan pelbagai cabaran akibat wabak Covid-19, antaranya ramai rakyat telah hilang pekerjaan dalam tempoh masa setahun ini.


Sementara itu, pengerusi persatuan berkenaan David Chan menggesa agar para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang jualan termasuklah harga barang kawalan. “Walaupun para peniaga terkesan dan tertekan dengan kemerosotan jualan masa kini, jangan sesekali mencalar integriti sebagai peniaga berhemah dan mengambil kesempatan dengan menindas pelanggan,” katanya.


Beliau berkata para peniaga yang menaikkan harga barang kawalan seperti telur, gula, tepung dan sebagainya akan dikenakan tindakan undang-undang atau dikenakan kompaun jika disabit kesalahan.


“Oleh itu, para peniaga janganlah menaikkan harga barang kawalan tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pengguna diminta melaporkan kepada KPDNHEP jika berdepan situasi sedemikian,” katanya. - PN Online

bottom of page