• newsatmy

Blatter, Platini dituduh melakukan pemalsuan

3 NOVEMBER 2021

BEKAS pegawai tertinggi FIFA, Sepp Blatter dan Michel Platini telah didakwa atas tuduhan melakukan pemalsuan serta lain-lain kesalahan di Switzerland.


Pejabat Pendakwa Raya Switzerland (OAG) berkata dalam satu kenyataan pada Selasa, Blatter telah mengatur untuk memindahkan wang berjumlah 2 juta Swiss francs (AS$2.19 juta) kepada Platini pada 2011.


"Pembayaran tersebut telah merosakkan aset FIFA dan menguntungkan Platini," katanya.


Kedua-dua mereka dituduh pada Selasa susulan siasatan selama enam tahun dan kini akan dihadapkan ke mahkamah di Bellinzona.


Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara beberapa tahun serta didenda.


Kes berkenaan pertama kali dibuka pada September 2015 selepas FIFA dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.


Jawatankuasa etika FIFA melancarkan siasatan yang menyaksikan kedua-dua individu tersebut dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak dan dipaksa untuk meletak jawatan.


Kes berkenaan turut mengakhiri karier Blatter sebagai ketua FIFA dan kempen Platini bagi menggantikan bekas mentornya itu.


Setahun kemudian, Platini dipaksa meletak jawatan sebagai Presiden UEFA.


Sehingga kini, kedua-dua mereka menafikan terlibat dalam sebarang kesalahan.


Kes berkenaan tertumpu kepada bayaran dipohon Platini berhubung perkhidmatan nasihat yang diberikan kepada Blatter antara tahun 1998 dan 2002.


Pendawa Raya berkata, Platini meminta wang tersebut lapan tahun selepas perkhidmatannya itu ditamatkan.


"Dengan penglibatan Blatter, pembayaran itu dibuat kepada Platini oleh FIFA sejak awal 2011," katanya.


Sebelum ini Blatter digantung selama enam tahun dan lapan bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti FIFA pada Mac 2021, berkuat kuasa pada Oktober.


Penggantungan itu susulan tindakan Blatter yang melanggar beberapa kod etika FIFA.