• admin

BN akan tentukan rakan kongsi andai gagal peroleh majoriti selepas PRU

KUALA LUMPUR,18 OKT: Masih terlalu awal untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) melihat mana-mana gabungan politik lain sebagai rakan kongsi, sekiranya gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk Pas.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, segala keputusan akan dibuat oleh pimpinan tertinggi BN bergantung kepada situasi selepas PRU15 kelak.


Menurut beliau, apa sahaja keputusan PRU15, ia seharusnya mempunyai tumpuan untuk memastikan kerajaan yang stabil demi kepentingan negara. "Kita tunggu dulu keputusan (PRU15), lepas itu kita akan buat keputusan. Jadi kita cross the bridge dahulu baru kita buat keputusan (yang sewajarnya).


"Kita buat andaian terlalu awal pun susah juga, sebab tidak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya nanti. Lepas pilihan raya nanti keputusan sudah ada, Insya-Allah kita akan buat apa saja keputusan demi kepentingan negara dan penting kita nak sebuah kerajaan yang stabil," katanya lagi.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai merasmikan Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Jawapan Perdana Menteri itu sebagai respons terhadap pandangan beberapa pihak bahawa tiada mana-mana gabungan politik yang dapat membentuk majoriti yang diperlukan, mengambil kira situasi dan dinamika politik semasa.


Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara komponen BN pula, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan ditentukan dalam masa yang terdekat.


"Dahulu (pembahagian) susah kerana komponen BN banyak. Sekarang ada empat komponen sahaja (UMNO, MCA, MIC, PBRS), jadi lebih mudah untuk kita bincang.


“Dalam waktu terdekat, pasti kita akan putuskan sebab lepas setuju pembahagian kerusi, kita akan setuju pula akan menilai dari segi calon pula.


"Dan perkara itu dah tak lama. Saya difahamkan, untuk penamaan claon dah tak lama. Kita pun tak tahu bila tapi saya yakin tak lama kerana Parlimen sudah dibubarkan… jadi perlu disegerakan," jelas Ismail Sabri lagi.