• Arissa Azman

BN bertanding solo untuk kestabilan, PAS berharap BN berubah pada hari penamaan

7 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo pada pilihan raya negeri Melaka tanpa sebarang sekutu dan akan meletakkan calon bagi semua 28 kerusi DUN, kata timbalan pengerusi gabungan itu Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.


“BN akan pergi sendiri, tidak akan pergi dengan mana-mana parti, dan kita akan menggunakan logo kita sendiri sebagai parti yang melambangkan dan mewakili kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negara kita.


“..saya ulangi, tiada lagi persoalan sama ada kita mahu bersama sesiapa. Sehubungan itu, BN akan meletakkan 28 calon di 28 DUN pada pilihan raya negeri Melaka,” katanya dalam majlis pengumuman calon BN yang disiarkan secara langsung di Facebook.


Beliau berkata tema BN bagi pilihan raya negeri Melaka ialah “Kestabilan untuk Kemakmuran”.


“Kestabilan diperlukan, kita perlukan kerajaan yang stabil selepas pilihan raya agar kepentingan orang ramai diutamakan. Jadi kestabilan itu penting, orang ramai dan pengundi harus berfikir dan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh memberi kestabilan kepada Melaka selepas pilihan raya,” katanya.


Beliau juga berkata BN komited untuk memastikan kestabilan dengan meminta kesemua 28 calon gabungan itu menandatangani perjanjian untuk tidak terlibat dalam lompat parti selepas dipilih.


Dalam kenyataan itu juga, semua calon BN yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini perlu menandatangani perjanjian untuk tidak melompat parti dan UMNO akan mengambil tindakan undang-undang mengikut syarat perjanjian.


Jelasnya, terdapat dua atau tiga perjanjian yang merangkumi semua aspek perundangan yang perlu ditandatangani oleh calon BN, memandangkan usul menentang lompat parti sama ada di Parlimen atau DUN tidak boleh dibawa buat masa ini.


Dalam kenyataan yang berasingan, Setiausaha penganjur kebangsaan DAP Anthony Loke berkata akuan berkanun (SD) tidak boleh menghalang mana-mana wakil rakyat daripada melompat ke parti lain selepas memenangi pilihanraya.


Menurut beliau, penyelesaian mutlak akan tercapai apabila Parlimen meluluskan undang-undang anti-lompat parti selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan.


“Tok Mat (Mohamad) sendiri pernah menerima katak politik semasa penggal pertamanya ketika menjadi menteri besar Negeri Sembilan, iaitu ADUN Bahau (Lim Fui Ming) yang menang atas tiket DAP pada pilihan raya 2004 dan melompat ke BN pada 2007. .


“Selepas ini, saya berharap semua pihak akan bersama-sama menyokong undang-undang anti lompat parti di Parlimen. Biar ada maruah dalam politik,” tulisnya di laman Facebooknya malam tadi.


Manakala parti PAS pula masih berharap yang UMNO akan berubah di saat akhir pada hari penamaan calon untuk elak terjadinya pertandingan 3 penjuru antara Bersatu, PAS dan UMNO.


Harapan itu terus disuarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS kali ke 67 semalam. PAS kini dikritik di pihak UMNO mahupun Bersatu bahawa mereka cuba bermain ‘2 kolam’ atau memilih jalan selamat di dalam politik dan untuk kekal relevan dalam pentas politik nasional, bukan hanya sekadar di kampung sahaja.


Pilihan raya negeri Melaka yang akan datang itu sendiri disebabkan oleh empat ADUN menarik balik sokongan mereka pada 3 Oktober daripada Umno Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan ketua menteri Melaka.