top of page
  • Farah

BN dijangka hilang kerusi lebih banyak di Pahang


KUANTAN, 14 Sept – Barisan Nasional (BN) dijangka akan hilang kerusi lebih banyak di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dihukum penjara penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang Lt Kol Bersekutu (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus berkata sentimen rakyat di negeri ini juga jelas ramai yang telah menolak UMNO-BN.

“Di Pahang termasuk bahagian-bahagian dan Parlimen dari dulu lagi sudah ramai pengundi beralih arah (tidak sokong BN).

“Apabila dapat pengesahan Najib didapati bersalah di mahkamah, benda itu mendatangkan impak.

“Jadi, pandangan saya PRU akan datang, mereka akan hilang lagi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Sementara itu, Yazid berkata sentimen pengundi-pengundi di Parlimen Pekan, di mana kubu kuat Najib, juga telah berubah.


Katanya, apabila terbukti Najib bersalah, kini sentimen berubah dari segi mentaliti pengundi.

“Selama ini yang mana rasa was-was, tidak berapa jelas sama ada benar Najib melakukan kesalahan jenayah dari segi rasuah, kini sudah menolak UMNO-BN.

“BN akan banyak hilang kerusi di Parlimen.

“Maksudnya, mereka tidak ada peluang lagi jadi pemerintah di Pahang,” katanya.

bottom of page