• Nihaba

BN Lancar Manifesto PRN Melaka Rabu Ini – Ab Rauf

9 November 2021

MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu ini.


Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang akan diberikan penekanan adalah kestabilan politik negeri ini.


“Sudah pasti kita memerlukan sebuah kestabilan untuk kemakmuran rakyat dan sudah pasti kita akan memberikan beberapa cadangan untuk kita melihat kemakmuran sepanjang koridor Masjid Tanah dan Melaka ini akan memberikan satu pulangan kepada rakyat sama ada dalam bentuk sosioekonomi ataupun dalam bidang lain,” ujarnya kepada media sejurus selesai proses penamaan calon DUN Tanjung Bidara.


Tambahnya yang juga calon BN Tanjung Bidara, salah satu manifesto untuk rakyat adalah menyemarakkan industri pelancongan serta meluaskan jalur lebar untuk kemudahan penduduk, pengusaha chalet dan pelancong.


“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memperbaiki kaedah penarikan pelancong sepanjang koridor Pengkalan Balak, Kemunting dan Tanjung Bidara yang mana terdapat 25 pengusaha chalet dan akan berusaha memasukkan pihak Telekom ke dalam kawasan ini untuk mendapat liputan internet yang terbaik pada kawasan tersebut dan seterusnya dapat menarik pelancong,”ujarnya.