top of page
  • newsatmy

BN perlu segera kemuka calon PM

25 Mei 2021

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Bahagian Pontian mencadangkan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mengemukakan segera calon Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi menepis dakwaan kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu BN dengan Pakatan Harapan (PH).


Ketuanya, Mohd Helmi Buang menegaskan, kegagalan kepimpinan BN menampilkan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal memberi implikasi sangat buruk kepada koalisi itu, lebih-lebih lagi UMNO sudah memutuskan bergerak solo bersama BN sebelum ini.


Menurut beliau, BN diterajui UMNO sebenarnya mempunyai ramai calon Perdana Menteri berwibawa dan diterima rakyat pelbagai kaum seperti Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Katanya, keputusan menangguhkan perkara itu akan menimbulkan kesangsian rakyat terhadap strategi politik masa hadapan parti Melayu berkenaan.


“Hal ini sekali gus mengundang persepsi calon Perdana Menteri untuk koalisi BN mungkin datangnya daripada parti lain yang akan bergabung dengan kita selepas PRU15, berkemungkinan besar PH yang turut dianggotai DAP sekiranya menjadi realiti.


“Bagi mengelak musuh terus melancarkan propaganda penjajaran baharu BN-PH, kepimpinan BN kena umumkan siapa calon Perdana Menteri dalam masa terdekat.


“Langkah itu juga akan membuktikan penyatuan dalam UMNO dan BN kembali utuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan beberapa pemimpin akar umbi UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim terhadap kemungkinan berlaku jajaran baharu politik antara parti terbesar orang Melayu itu dengan PH bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.


Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan parti politik yang berlaku selepas PRU15 tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang stabil, kuat kerana mereka akan saling mengugut jika tuntutan mereka tidak dilayan.


Mengulas kemungkinan DAP akan lebih teruk membuli UMNO sekiranya bersama-sama membentuk kerajaan kelak, Mohd Helmi menyokong pandangan Mustafa kerana beranggapan DAP masih kekal sebagai sebuah parti yang sukar untuk menerima hakikat ketuanan Melayu di negara ini.


Beliau juga menyuarakan kebimbangan orang Melayu bakal kehilangan sepenuhnya kuasa politik yang dihakis secara terselindung sekiranya kerjasama politik dengan DAP dan PH benar-benar direalisasikan.


“Setakat ini, masih tiada bukti kukuh terdapat usaha mana-mana pemimpin UMNO untuk menjayakan kerjasama politik dengan PH.


“Namun, itu bukan bermakna usaha ke arah itu memang tiada dan saya secara peribadi menentang sepenuhnya cadangan itu,” katanya.


-Sinar Harian

bottom of page