• newsatmy

Boleh tiru formula kami - Presiden PJ City

5 April 2022

PETALING JAYA: Kelab bola sepak Petaling Jaya (PJ) City FC mengajak pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mengikut formula mereka bagi mengelak berdepan isu kewangan serius.


Presiden PJ City Datuk Seri Subahan Kamal berkata, formula digunakan kelab itu adalah berbelanja secara berhemat mengikut konsep ukur baju di badan sendiri yang menyaksikan mereka menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya, berbanding mendapatkan pemain import.


Beliau berkata, dari sudut pembayaran gaji pemain dan pegawai pula, PJ City FC tidak sewenang-wenangnya akur kepada 'tanda harga' yang tinggi, sebaliknya hanya akan membayar mengikut standard serta pencapaian terkini seseorang.

Justeru, beliau merasakan formula digunakan PJ City wajar diikuti mana-mana pasukan kerana ia dilihat dapat memberi kestabilan kepada sistem kewangan kelab.


"Pada pandangan saya secara peribadi, itu memang satu formula terbaik tetapi setiap pasukan dan pengurusan ada cita rasa tersendiri, ada visi sendiri. Cuma bagi saya itu cara terbaik kalau kita nak kurangkan perbelanjaan pasukan," katanya ketika ditanya pemberita bagaimanakah cara terbaik supaya pasukan tidak terpalit dengan isu kewangan.


Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran jersi terbaru PJ City FC bagi musim 2022 yang turut dihadiri Pengerusi QNet Malaysia Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Pengarah Urusan Kumpulan QI Kuna Senathirajah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.


Mengulas lanjut mengenai penggunaan pemain tempatan sepenuhnya dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), Subahan berkata langkah itu tidak memberi sebarang masalah kepada pasukannya, sebaliknya mereka berjaya untuk kekal bersaing dalam Liga Super.


Beliau berkata pendekatan itu juga tidak bermakna PJ City enggan memenangi sebarang kejuaraan.


"Kita bukan sahaja nak menang piala tetapi kita juga nak melahirkan lebih ramai pemain yang dapat diberikan peluang bermain, supaya jurulatih kebangsaan dapat melihat prestasi mereka. Alhamdulillah, formula yang kita ada sekarang berkesan kerana tiga hingga lima pemain telah dipanggil untuk pasukan kebangsaan," katanya.


Beliau berkata pemain tengah skuad kebangsaan M. Kogileswaran Raj adalah contoh pemain yang ingin terus dilahirkan PJ City pada masa hadapan apabila pemain itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah nama pasukan yang diwakili di peringkat domestik.


Sebagai rekod, baru-baru ini pasukan Liga Premier Perak FC yang terpalit dengan isu pertukaran pemilik, menjadi kelab pertama yang dihukum pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021.