top of page
  • newsatmy

Bubar DUN Sarawak: Terserah kepada Agong, Yang di-Pertua Negeri

16 Mei 2021

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk memutuskan masa yang sesuai membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata di bawah perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun, iaitu genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan di bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan, susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.


"Oleh itu, pembubaran DUN akan ditetapkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Al-Sultan Abdullah, selepas berunding dengan Abdul Taib. Kami mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan.


"Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) juga akan menghadap Al-Sultan Abdullah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi GPS, di sini hari ini.


Menurut Nanta, sepanjang situasi semasa pandemik COVID-19, kehidupan rakyat keutamaan GPS.


– BERNAMA

bottom of page