top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Buka Parlimen: Kuasa Agong dengan nasihat jemaah menteri - Peguam Negara

26 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.


Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menjelaskan, Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.


"Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18.


"Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.


"Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu," jelas Idris dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Berdasarkan Perkara 55(1)Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


Bagaimanapun peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa.


Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh “sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.


Dalam pada itu kata Idris, berdasarkan seksyen 17 dan 18 tersebut, perenggan 14(1)(b) ataupun mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut tidak mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.


Jelasnya, berkait dengan kuasa jemaah menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.


Oleh itu jelasnya, perkara itu selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh jemaah menteri.



--Awani

bottom of page