top of page
  • admin

Bukan kurang ajar dan tak usah politikkan-Rosyam

15 Sept

Pelakon, penerbit dan usahawan terkenal, Rosyam Nor mempertahankan perkataan ‘belasah kepala korang’ bertujuan ‘mencuci otak’ bukannya bersikap kurang ajar.


Walaupun ia dianggap kasar bagi Rosyam ia diluahkan dengan niat yang baik diharap dapat membuka minda pihak yang berkenaan agar sentiasa berfikiran positif dan tidak selesa dengan apa yang mereka capai.


‘Mari ramai-ramai hadirkan diri…’ Saya yakin takkan ada orang nak datang kalau promosi dibuat begitu.

“Apabila saya kata ‘belasah kepala korang’ tu, takkanlah saya nak pukul betul-betul. Dari segi psikologi, saya nak apa yang saya cakap tu membuka minda orang ramai.


“Perkataan belasah kepala yang saya sebut tu sebenarnya bertujuan ‘mencuci’ otak. Saya memang agak kasar tapi bukan kurang ajar. Jadi, tak timbul isu saya menjatuhkan martabat kaum wanita,” katanya dipetik Malaysiakini.


Kaedah ‘cuci otak’ itu katanya sudah biasa diguna pakai olehnya sebelum ini sebagai daya penarik untuk menanam minat orang ramai agar cintakan semangat keusahawanan.


“Program yang saya jalankan adalah untuk memberi semangat dan kesedaran buat kaum wanita dari golongan B40 atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam industri kecil dan sederhana (IKS) supaya bangkit dalam perniagaan,” katanya.


Semalam, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyifatkan video berkenaan yang dianggap bersifat publisiti murahan dan memalukan.


Apatah lagi menurut Hannah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang hanya tersenyum ketika peranan wanita diperlekehkan melalui promosi tersebut.

Susulan kenyataan Hannah itu, Rosyam meminta agar isu tersebut tidak dipolitikkan kerana ia hanya bahan untuk kempen mempromosi program KPWKM.


Video itu juga menarik perhatian Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abd Rahim dengan meminta pemimpin serta rakyat untuk berhenti menjadikan wanita sebagai bahan gurauan.


Ini kerana katanya, video promosi yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di aplikasi TikTok, seakan-akan merendahkan kaum wanita.


Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut memuat naik satu ciapan memaklumkan bahawa dia juga kesal melihat golongan wanita seakan direndahkan melalui video tersebut.


“Tak usah politikkan kenyataan saya dengan menteri berkenaan. Saya nak tegaskan, bukan minat saya untuk menyertai politik sebab saya lebih gemar bidang keusahawanan.Saya sendiri datang daripada golongan B40. Saya bersyukur video tu tular sebab fokus saya untuk kejutkan orang ramai daripada ‘tidur’ jadi kenyataan,” ujar Rosyam.

bottom of page