top of page
Writer's pictureArissa Azman

Buli bukan budaya orang kita! – Zuraida

3 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Penantian empat tahun berhubung kes pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain akhirnya telah sampai ke penghujungnya.


Kesemua 16 tertuduh telah didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.


Hakim menjatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda dibawah seksyen 304 Kanun Keseksaan terhadap enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.


Perkara ini mendapat perhatian khas dari Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang turut berkongsi pandangan peribadinya di media sosial.


Menerusi kenyataan tersebut, beliau berkata kejadian sebegini tak sepatutnya berlaku dalam kalangan anak muda kita.


“Anak muda pendukung masa depan negara.


“Tanggungjawab kitalah untuk pastikan mereka membesar dengan sihat secara fizikal, mental dan emosi bagi mewarisi negara tercinta ini.


“Saya lawan sekeras-kerasnya budaya buli dan ‘ragging’ dalam masyarakat kita.


“Bukan saja rosakkan pemikiran anak muda, tapi nyawa orang lain pun boleh tergadai jadi mangsa.


Zuraida turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang selama ini menanti keputusan dari mahkamah dengan penuh sabar.


“Takziah sekali lagi buat keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman.


“Moga kes ini jadi pengajaran buat semua.


“Buli bukan budaya orang kita!,” kata Zuraida.

Comments


bottom of page