top of page
  • Farah

Bung Moktar, isteri diarah bela diri kes rasuah RM2.8 juta


KUALA LUMPUR, 2 Sept – Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.


Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan Zizie Izette

.

Rozina berkata, pihaknya berhati-hati dalam meneliti semua keterangan dikemukakan terutama oleh saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 iaitu dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.


Beliau berpuas hati dengan hujahan semua pihak walaupun terdapat percanggahan percakapan saksi pendakwaan ke-24 dan 25 yang tidak memberi kesan kepada tuduhan terhadap suami isteri itu.

“Bagaimanapun, kita menerima keterangan lain oleh saksi terbabit yang dikemukakan di mahkamah.


Tuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membabitkan tertuduh pertama (Bung Moktar) berjaya dibuktikan pada tahap prima facie, bahawa RM2.8 juta diperoleh menerusi tertuduh kedua (Zizie Izette).

“Seksyen 50 Akta SPRM 2009 terpakai bagi tertuduh pertama yang menerima suapan RM2.8 juta untuk dorongan sebagai hal ehwal prinsipal mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II (ketika itu) untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai unit amanah Public Mutual.

“Tuduhan kepada tertuduh kedua juga berjaya dibuktikan oleh pendakwaan pada tahap prima facie selaras inti pati Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 setelah meneliti dan berpuas hati dengan hujahan semua saksi sedia ada,” katanya.


Susulan itu, hakim menawarkan pasangan itu tiga pilihan sama ada tertuduh terbabit mahu berdiam diri dengan tidak menjawab tuduhan atau memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas pendakwaan.


Pilihan ketiga, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Selepas mendengar perkara itu, peguam Datuk K Kumaraendran dan M Athimulan memaklumkan suami isteri itu memilih pilihan ketiga.


M Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata, pembelaan menawarkan secara keseluruhan 10 saksi termasuk dua tertuduh itu.

“Mengenai tarikh (bicara), saya difahamkan Datuk Seri (Bung Moktar) ada sesi Parlimen bermula 3 Oktober hingga 29 November ini, kita mohon tarikh sesuai pada Disember,” katanya.


Hakim menetapkan bicara kes itu bersambung pada 23 dan 26 September ini, 14 dan 28 Oktober, 21 dan 30 November, 1 dan 7 Disember serta 3 dan 9 hingga 13 Januari tahun depan.

“Bagi tarikh bicara pada Oktober, pembelaan boleh maklumkan mengenai sesi Parlimen yang bermula 3 Oktober ini untuk perhatian mahkamah. Jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dilanjutkan,” katanya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How.


Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.


Saksi itu termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad terbabit.


Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.


Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.


Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

bottom of page