top of page
  • admin

Cadangan bubar DUN Pulau Pinang dibincang dalam Mesyuarat Presiden PH hari ini


KUALA LUMPUR, 12 Okt- Permintaan DAP Pulau Pinang supaya keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat sebelum ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dikaji semula, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini. Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Presiden PH pada minggu lepas memutuskan tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan terdiri daripada Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika PRU15 diadakan pada tahun ini. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata terdapat beberapa alasan untuk DUN Pulau Pinang dibubarkan antaranya mengambil kira pandangan orang ramai terutama dari negeri itu yang cenderung mahu pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15. “Mesyuarat malam ini telah membahas isu ini dengan panjang lebar dan kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Presiden PH pada petang esok untuk dibincang bersama dan segala keputusan hanya akan diputus selepas mesyuarat tersebut. Mereka (rakyat Pulau Pinang) mengatakan tidak mahu keluar mengundi dua kali, itu salah satu pandangan rakyat yang disiarkan meluas melalui media-media di negeri itu...itu faktor yang perlu kita ambil kira,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, di sini, semalam. Beliau berkata mesyuarat itu turut menetapkan Jawatankuasa DAP negeri diberi tempoh sehingga Isnin depan (17 Oktober) untuk mengemukakan cadangan nama calon masing-masing yang akan bertanding pada PRU15. Menurutnya mesyuarat itu juga memutuskan semua konvensyen DAP negeri yang telah dijadualkan akan ditangguhkan dan diadakan selepas PRU15 kecuali bagi konvensyen negeri Pahang.


“Pada Ahad ini (16 Oktober) Konvensyen DAP Pahang akan tetap diadakan dan saya akan mewakili CEC untuk pergi merasmikannya dan juga melancarkan jentera pilihan raya peringkat Pahang,” katanya. Ketika ditanya mengenai sama ada parti itu akan bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) untuk menghadapi PRU15, Loke berkata ketika ini tiada sebarang permohonan diterima daripada parti berkenaan untuk bekerjasama. Malah menurutnya fokus DAP ketika ini ialah untuk mengukuhkan parti itu selain masih mempertimbang bekerjsama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). -BERNAMA

Comments


bottom of page