top of page
  • Farah

Cadangan Muhyiddin mengenai moratorium khas kepada PMKS perlu diambil perhatian kerajaan


JOHOR BAHRU, 13 Sept – Kerajaan perlu memberi perhatian yang serius mengenai cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).


Setiausaha Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Uzzair Ismail berkata cadangan Muhyiddin itu sangat baik dan wajar dipertimbangkan kerajaan.

“Cadangan tersebut adalah tepat dengan situasi semasa negara khususnya rakyat di semua peringkat yang masih lagi bergelut dengan proses pemulihan fasa endemik susulan pandemik COVID-19 yang telah memberikan implikasi cukup besar terhadap kehidupan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Tambahnya, dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terkini dan kali ketiga berturut-turut pada tahun ini telah memberikan kesan yang ketara terhadap kadar faedah pinjaman pengusaha PMKS sehingga mungkin terbeban dengan hutang yang tinggi.


Katanya, dengan cadangan Muhyiddin itu wajar diambil perhatian oleh kerajaan kerana ia merupakan suatu langkah intervensi bagi meringankan bebanan pengusaha PMKS meskipun bersifat jangka pendek atau sementara.

“Tinjauan turut mendapati cadangan kebanyakan pengusaha PMKS termasuk di Negeri Johor menyokong cadangan ‘Prihatin Rakyat’ Pengerusi Majlis Pemulihan Negara ini, dengan pengharapan dapat diimplementasikan segera.

“Sewajarnya kerajaan dapat mengumumkan ‘berita baik’ termasuklah pemberian moratorium khas bagi pengusaha PMKS ini dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang tidak lama lagi,” katanya.


Kata Uzzair lagi, kerajaan Johor turut diminta untuk menyediakan sebuah bajet ‘Prihatin Rakyat’ yang bersifat terangkum atau inklusif dengan pelbagai insentif dan inisiatif yang mesra semua segmen masyarakat dalam Belanjawan Johor 2023.


Katanya, pelaburan sebanyak RM60.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2022 yang direkodkan oleh Johor seperti dilaporkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) seharusnya memberikan petanda positif terhadap taraf kehidupan Bangsa Johor.

“Menjadi harapan rakyat Johor agar Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi prihatin terhadap nasib rakyat yang sedang menghadapi kesukaran untuk pulih dan bangkit pada fasa endemik sekali gus menampilkan sebuah bajet yang relevan kali ini.

“Perhatian yang serius terhadap kehidupan semasa rakyat perlu diberikan tanpa mengenepikan pertumbuhan ekonomi, pemantapan persekitaran mesra pelabur, penyediaan infrastruktur dan prasarana yang berkualiti serta agenda pembangunan bersifat pro-rakyat,” katanya.


Semalam, Muhyiddin meminta kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.


Muhyiddin berkata, langkah itu perlu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan OPR memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 Sept, menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%.


Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%, berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.

bottom of page