Cadangan Syed Saddiq disambut hambar oleh ahli akademik
9 Oktober 2021
KUALA LUMPUR: Cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar pelajar universiti hanya fokus kepada subjek-subjek yang berkaitan dengan kursus mereka mendapat sambutan hambar daripada Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).
Sama ada ingin mengambil subjek wajib “yang tidak berkaitan” dengan kursus mereka atau tidak, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ini patut dijadikan pilihan bagi pelajar sarjana muda.
Antara subjek-subjek yang patut dijadikan elektif, menurut beliau, adalah ketamadunan Islam, pengajian Malaysia, kewarganegaraan, falsafah dan isu semasa, kesihatan dan gaya hidup, komunikasi, serta pengurusan dan analisis data.
Pengerusi GERAK Zaharom Nain menyifatkan pendapat Syed Saddiq mengenai subjek-subjek tersebut sebagai “pandangan sempit” tentang apa yang seharusnya menjadi pendidikan universiti.
“Pandangan sempit dan bersifat utilitarian ini mengabaikan peranan universiti yang lebih luas, terutamanya untuk meneroka pengetahuan, mempersoalkan pengetahuan yang ada, dan mengembangkan akal, potensi dan keperibadian manusia,” katanya.
Zaharom berkata, hubungan antara sains dan teknologi dan keadaan manusia perlu diterapkan dalam semua pelajar kerana ia membantu mengembangkan individu yang berfikir dan serba boleh, “bukan robot”.
Profesor di Universiti Nottingham Malaysia itu berkata, beliau menyokong cadangan menyingkirkan subjek-subjek yang disifatkannya sebagai “propaganda kerajaan” untuk membasuh otak para pelajar.
“Namun subjek-subjek yang bertujuan meluaskan minda pelajar untuk, misalnya, membantu mereka menghargai impak apa yang mereka pelajari dalam bidang kejuruteraan atau sains ke atas masyarakat, manusia dan alam sekitar, tentu saja perlu diajar.
“Seorang jurutera yang belajar membina jambatan tetapi tidak faham implikasi jambatan untuk komunikasi manusia dan persekitarannya bukanlah jurutera yang bijak,” katanya.
Presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) Wong Yan Ke juga tidak bersetuju menjadikan subjek seperti falsafah, kewarganegaraan dan ketamadunan sebagai elektif.
Graduan kejuruteraan awam itu memuji subjek falsafah kerana mengajar kuasa penaakulan dan pemikiran kritis, dan menyebut bagaimana kewarganegaraan dan ketamadunan membantu pelajar memahami peranan sebagai rakyat Malaysia dan hubungan mereka dengan kerajaan.
“Adakah tanggungjawab kita hanya untuk mengundi lima tahun sekali, setakat itu sahaja? Atau adakah kita juga patut terlibat menyokong dan mendorong perubahan?”
“Katakan saya sebagai pelajar kejuruteraan, saya tak sepatutnya hanya belajar matematik dan statistik. Saya juga perlu tahu apa yang berlaku dalam negara kita,” katanya.
Dengan menyingkirkan subjek-subjek sebegitu, katanya, universiti hanya akan menjadi platform melatih pelajar untuk menyertai tenaga kerja, walaupun inovasi dan kreativiti adalah dua kemahiran yang sangat bernilai dalam pasaran kerja.
Katanya, ketiadaan pelaburan dalam ilmu sastera liberal dan falsafah akan menghasilkan “anticendekiawan” yang mudah terpengaruh dengan sebarang hujah.
Sementara itu, presiden dan sarjana Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia (HEYA) Ooi Tze Howe berkata, secara amnya, universiti harus menjadi jalan bagi pelajar untuk belajar bukan sahaja subjek teras berkaitan bidang pengajian mereka, malah subjek yang akan melengkapkan pendidikan mereka dan membantu mereka dengan kemahiran menyelesaikan masalah.
Walaupun tidak menafikan subjek wajib mungkin “sedikit membebankan”, Ooi berpandangan, universiti dapat mempelbagaikan pilihan dengan menawarkan peluang bagi pelajar untuk belajar bahasa.
“Kita patut serahkan kepada pelajar untuk pilih (subjek) berdasarkan minat mereka,” kata sarjana Chevening London School of Economics itu.
Comments