top of page
  • zaman

Cagar KWSP, pinjam bank tambah beban pencarum.


KUALA LUMPUR 13 Mac: “Bukan menyelesaikan masalah, tetapi semakin membebankan hidup rakyat dalam jangka masa panjang.” Penganalisis Sosio-ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu yang bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

“Saya tidak bersetuju ahli-ahli pencarum KWSP memohon dana pengeluaran simpanan khas dan telah mencadangkan pihak kerajaan memperkenalkan satu kaedah memudahkan orang-orang yang betul-betul terdesak memerlukan wang.

“Saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan kolateral jaminan cagaran bank, ini yang terbaik,” kata Anwar.


Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Ahmad Fauzi berkata, buat masa sekarang, sebahagian besar pencarum KWSP di negara ini sangat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kepelbagaian hidup.


Tambah beliau, majoriti para pencarum masih keliru dengan kaedah yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia pada masa ini.

“Faktor kekeliruan dan kebimbangan para pencarum ini mungkin berkisarkan kepada apakah syarat-syarat yang akan ditetapkan kelak oleh pihak institusi kewangan?

“Kedua, berapakah pula caj yang disyaratkan setiap pinjaman yang hendak dilakukan dan setakat mana pula jumlah simpanan KWSP yang perlu dicagarkan?

“Seterusnya, berapa lama tempoh pinjaman pembayaran semula akan dikenakan. Akhir sekali, adakah memerlukan penjamin di atas cagaran yang hendak dilaksanakan kelak?” jelasnya.


Justeru, beliau percaya pencarum KWSP sangat mengalu-alukan langkah pihak kerajaan pada masa ini untuk mencari apa sahaja formula terbaik untuk membantu rakyat yang terdesak akibat pelbagai faktor seperti pembiayaan hutang rumah, ansuran bulanan kereta, pinjaman peribadi, sewaan niaga dan pejabat serta mengimbangi pusingan modal perkhidmatan dan perniagaan masing-masing.

“Dalam hal ini, sepatutnya pihak KWSP terlebih dahulu melancarkan satu bancian awal bagi mendapatkan maklum balas pencarum dan keperluan bagi menampung desakan kewangan yang dilihat boleh membantu pencarum secara tuntas,” tegasnya.


Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan dapat menekankan kaedah yang boleh memberi manfaat besar kepada para pencarum dengan memohon institusi kewangan menawarkan syarat-syarat yang tidak membebankan pencarum.


Menurut beliau lagi, pihak KWSP sepatutnya tidak membebankan lagu pencarum yang sedia dibebani masalah kewangan ketika ini.

“Ini kerana pencarum yang memohon membuat permohonan pengeluaran simpanan KWSP adalah daripada simpanan wang mereka sendiri dan sudah tentu mereka menyedari ia adalah simpanan mereka pada hari tua nanti,” ujarnya


Tambah beliau, jika dilihat sebelum ini, institusi KWSP telah melaksanakan empat kemudahan pengeluaran kepada para pencarum disebabkan Malaysia pada masa itu dilanda wabak Covid-19.

“Antara empat pengeluaran KWSP yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuhi cabaran dan impak akibat pandemik Covid-19.

“Kemudahan pengeluaran yang ditawarkan ini telah terbuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun dan memanfaatkan seramai 8.1 juta ahli atau 62 peratus daripada 13.1 juta ahli yang layak,” ujarnya.


Justeru, Ahmad Fauzi berkata, statistik yang diperolehi daripada KWSP mengatakan bahawa bilangan pencarum aktif yang mencapai Simpanan Asas, RM240,000 pada usia 55 tahun telah menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

“Hal ini disebabkan kepada empat pengeluaran khas yang dilakukan oleh pencarum KWSP yang menyebabkan berlakunya penurunan ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun lalu,” jelasnya.


Sehubungan itu, beliau percaya selain cadangan Perdana Menteri yang mahukan pencarum mencagarkan KWSP kepada institusi kewangan sebagai pilihan memerlukan kewangan itu, maka pihak kerajaan juga perlu melihat semula kepada kumpulan bersasar.

“Jika dilihat, masih ramai pencarum yang mempunyai simpanan lebih RM200,000 yang dikirakan tiada masalah atau menjejaskan simpanan hari tua mereka andainya institusi KWSP membenarkan mereka membuat pengeluaran sebanyak RM10,000.

“Kerajaan boleh terus melihat akan perkara itu dan perlu mempelbagaikan kaedah yang memberi pencarum pilihan bagi membuat pengeluaran KWSP masing-masing,” katanya

Comments


bottom of page