top of page
  • newsatmy

Calon termuda PRN Melaka sedia berkhidmat untuk rakyat

9 November 2021

MELAKA: Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Farzana Hayani Mohd Nasir berkata usianya yang muda tidak menjadi halangan untuk berkhidmat kepada rakyat jika beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai nanti.

Farzana, 21, yang mesra disapa Nana berkata dia sudah bersedia dan ikhlas untuk mencurah khidmat kepada warga Melaka terutama kepada masyarakat di kawasannya.

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah sangat-sangat ready (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri Melaka,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Skype pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Ketua Srikandi Keadilan Melaka itu menegaskan antara isu yang akan beliau diberi perhatian serius jika menjadi wakil rakyat ialah meningkatkan capaian Internet di seluruh negeri Melaka bagi memudahkan pendidikan dan menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.

Farzana berkata sebagai pelajar, beliau merasa peritnya dengan gangguan Internet ketika sedang mengulang kaji pelajaran.

“Sebagai mahasiswi saya sangat pentingkan rangkaian Internet kerana pengalaman sebagai pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai.

Saya juga yakin lebih ramai akan terlibat dengan program keusahawanan,” katanya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan juga lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, universiti sama.

Farzana merupakan antara calon wanita muda yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) di DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka yang ditetapkan pada 20 Nov ini yang menyaksikan saingan empat penjuru dengan Muhammad Jefri Safry (Perikatan Nasional), Siti Faizah Abdul Azis (Barisan Nasional) dan Nazatul Asyraf Md Dom (Putra).



-BERNAMA

bottom of page