• newsatmy

Cheng Hoe berjasa pulih imej pasukan negara - B. Sathianathan

5 Januari 2022

KUALA LUMPUR: "Saya tabik hormat kepada Tan Cheng Hoe."


Itu reaksi bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan berhubung keputusan berani dan mengejutkan yang diambil Cheng Hoe apabila melepaskan jawatannya selaku Ketua Jurulatih pasukan negara selepas empat tahun menggalas tanggungjawab itu.


Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu berkata tindakan Cheng Hoe akan memberi nilai tambah kepada imejnya sebagai seorang jurulatih selepas turut membuktikan kemampuan di padang sewaktu membimbing skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata Cheng Hoe telah berjaya memulihkan maruah skuad kebangsaan sehingga menjadi antara pasukan yang digeruni di rantau Asia Tenggara sejak dilantik menggantikan pengendali kelahiran Portugal Nelo Vingada pada Disember 2017.


"Saya hormat beliau kerana berani buat keputusan ini sebab tak ramai boleh bertindak seperti itu.


"Beliau adalah seorang jurulatih yang pulihkan imej kita, apabila di bawah Vingada kita asyik kalah saja. Kita boleh nampak prestasi pasukan naik mendadak.


"Apa yang disajikan pasukan negara di bawah bimbingan beliau terutama pada awal saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, saya nampak itu adalah saat paling seronok untuk menonton skuad kebangsaan beraksi.


"Tetapi kegagalan di Kejuaraan Piala AFF 2020 mungkin mempengaruhi keputusannya dan saya akui (satu kegagalan) tetapi kalau lihat secara teliti, pasukan negara itu bukanlah pasukan terbaik dibentuk Cheng Hoe," katanya sambil menyifatkan Cheng Hoe sebagai seorang jurulatih yang berdedikasi.


Cheng Hoe berjaya memperbaiki ranking pasukan negara yang berada di kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia di tangga ke-178 dunia kepada posisi ke-153 sejak mengambil alih tugas itu.


Prestasi terbaik skuad kebangsaan di bawah Cheng Hoe adalah pada musim 2019 apabila pasukan negara merekodkan sembilan kemenangan daripada keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan dalam ranking lebih tinggi pada ketika itu.


Pada Isnin, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan Cheng Hoe, yang mempunyai kontrak bersama skuad kebangsaan hingga penghujung 2022, melepaskan jawatannya berikutan kegagalan pasukan negara melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020 bulan lepas.


Pada kempen kejuaraan itu, Malaysia yang turun selaku naib juara edisi 2018 gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga dengan hanya meraih dua kemenangan daripada keseluruhan empat aksi.


Mengulas lanjut, Sathianathan berpendapat tindakan Cheng Hoe itu antara lain bagi meredakan kemarahan peminat tempatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya pada kempen Kejuaraan Piala AFF 2020.


"Apa yang saya lihat komen-komen daripada peminat dan warganet kadang-kadang tidak masuk akal, mungkin Cheng Hoe melepaskan jawatan supaya dapat meredakan sikit keadaan yang keruh ketika ini, jadi ini satu tindakan yang berani," katanya.


Seorang lagi bekas ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal dalam akaun Twitternya berkata Cheng Hoe sentiasa memberikan yang terbaik dan memberi tumpuan penuh kepada tugasnya.


"Anda telah melakukan yang terbaik TCH. Saya tahu keikhlasan dan kejujuran anda dalam menjalankan tugas.


"Rakan sekerja terbaik yang pernah saya impikan dan saya bertuah memiliki anda dalam kerjaya kejurulatihan saya.


"Tanpa TCH di sisi, saya tidak mungkin mendapat pengiktirafan yang diperoleh sepanjang bergelar ketua jurulatih. Semoga anda mendapat lebih banyak khabar yang menggembirakan," katanya.