• newsatmy

Coldplay 'lancar' single terbaharu di ruang angkasa lepas

9 Mei 2021

LONDON: Pelbagai gimik menarik dilakukan golongan penggiat seni sepanjang tempoh pandemik.


Terkini, kumpulan muzik British, Coldplay, memilih kaedah yang lain dari kebiasaan apabila memperkenalkan single terbaharu mereka berjudul Higher Power, pada Jumaat - dengan melancarkannya ke ruang angkasa lepas.


Reuters melaporkan, kumpulan yang terkenal dengan lagu seperti Paradise dan Viva la Vida itu, dihubungkan dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk bercakap dengan angkasawan Perancis, Thomas Pesquet, tentang kehidupan di angkasa lepas.


Mereka juga berkongsi video persembahan lagu baharu itu yang dirakamkan di ruang terbuka, bersama imej hologram 'makhluk asing' yang menari mengikut rentak lagu.

Video itu ditonton Pesquet di dalam ruang komunikasi ISS.


"Sekarang ini kami tidak dapat memainkannya kepada sesiapa di Bumi, maka kami mainkan untuk anda," ujar vokalis utamanya, Chris Martin kepada Pesquet menerusi medium sembang video pada Jumaat.


"Ini seperti konsert untuk individu," sambungnya.


Minggu lalu, band itu menerusi akaun Twitter rasmi mereka memberitahu, lagu tersebut diterbitkan oleh penulis lagu dan penerbit Sweden, Max Martin, dan diilhamkan pada awal tahun 2020.


Coldplay akan menjayakan persembahan pembukaan BRIT Awards pada minggu depan, dengan menyampaikan lagu Higher Power. Persembahan mereka akan dilangsungkan di Sungai Thames, berdekatan lokasi acara anugerah tersebut di arena O2, London.


Mereka juga sedang dalam persiapan untuk membuat persembahan di konsert Glastonbury yang bakal disiar secara penstriman langsung pada 22 Mei, selepas acara festival muzik itu dibatalkan sekali lagi tahun ini akibat pandemik COVID-19.


-Astro Awani