top of page
  • Writer's pictureNihaba

Covid 19- 76 meninggal dunia dilaporkan

21 Oktober -KUALA LUMPUR

Seramai 76 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam, naik tujuh kes berbanding 69 kematian yang dilaporkan pada Selasa, menjadikan kumulatif sebanyak 28,138 kematian sejak awal tahun lalu, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikeluarkan hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawang COVIDNOW, jumlah kematian baharu itu turut membabitkan 14 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID) menjadikan keseluruhan kes BID sejak awal tahun lalu berjumlah 5,680 kes.

Sarawak kekal merekodkan jumlah kematian harian tertinggi dua hari berturut-turut apabila mencatatkan 12 kes berbanding 16 kes pada Selasa, diikuti Johor dengan 11 kematian; dan Sabah (10 kes).

Kedah pula merekodkan sembilan kematian diikuti Pulau Pinang (lapan); Selangor (enam); Perak (lima); masing-masing empat di Pahang dan Terengganu; Kelantan (tiga); Melaka (dua) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, dan Perlis.

Tiada kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Dari segi jumlah keseluruhan kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam yang melebihi tiga angka, Selangor kekal tertinggi dengan 9,536 kes diikuti, Johor 3,564 kes; Kuala Lumpur (2,538 kes); Sabah (2,427 kes); Kedah (1,945 kes); Pulau Pinang (1,544 kes); Negeri Sembilan (1,218); Sarawak (1,143 kes); dan Perak (1,033 kes).

Sementara itu, Selangor melepasi angka 700,000 kes positif semalam selepas 1,004 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam. Bagaimanapun, daripada jumlah itu 678,052 pesakit dilaporkan telah sembuh.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam sebanyak 81,955 kes Covid-19 masih aktif.

Daripada jumlah itu, 62,857 menjalani kuarantin di rumah, PKRC (11,966 pesakit); hospital (6,466 pesakit) dan 666 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 329 memerlukan alat bantuan pernafasan.


bottom of page