top of page
  • newsatmy

Covid-19 : Jumlah Penghuni ICU Semakin Meningkat

23 Mei 2021

LEMBAH KLANG: Kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini adalah melebihi 100%.


"Malaysia mengalami peningkatan kemasukan ke ICU di seluruh negara sebanyak 60% jika dibanding dengan tempoh 2 minggu yang lepas, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94% berbanding tempoh yang sama," menurut Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.


Sebagai langkah menangani peningkatan mendadak kes COVID-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal / ICU, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah bertemu untuk membincangkan cadangan penggunaan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai Hospital COVID-19.


HPKK UKM merupakan hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.


Hospital ini mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ICU (adult sized beds) yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat COVID-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius.


Melalui Seksyen 3 and 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar dan swasta bagi maksud menangani wabak COVID-19 ini.


"Setinggi-tinggi penghargaan kepada UKM di atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam menangani pandemik COVID-19.

Allahu Al-musta’an," tambah beliau lagi.

bottom of page