top of page
  • newsatmy

COVID-19: Pihak Agama Perlu Ambil Peranan

25 Mei 2021

arissa

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa agama di negeri-negeri perlu memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.


Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini adalah antara perkara yang beliau tekankan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 pagi semalam, antara lain bagi menyokong program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.


Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video tersebut dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong.


"Saya tegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin,"


"Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan Kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya melalui Facebook miliknya.


Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021.


Dalam hal ini, beliau berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain.


-PN Online

bottom of page