• newsatmy

COVID-19: Selepas ayah meninggal dunia, ibu Irwansyah pula sedang bertarung nyawa

24 Julai 2021

Artis terkenal Indonesia, Irwansyah yang kehilangan ayahnya akibat COVID-19 kini melalui satu lagi fasa duka apabila ibunya pula sedang bertarung nyawa selepas dijangkiti wabak yang sama.


Keadaan kesihatan ibu pelakon dan penyanyi itu, Herlianah yang kini dirawat di sebuah hospital dilaporkan sedang menurun.


“Irwan kangen (rindu) Ma,” tulis Irwansyah dalam hantaran di akaun Instagramnya mengiringi foto dia bersama ibunya.


Pada 8 Julai lalu, ayah Irwansyah, Umar Efendi menghembuskan nafas terakhir selepas disahkan dijangkiti COVID-19 tiga hari sebelum itu.


Irwansyah yang juga suami kepada artis terkenal, Zaskia Sungkar juga disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri.


Dalam hantaran berbeza, Irwansyah juga meluahkan harapan semoga ibunya diberi kesembuhan.


Katanya, sudah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan bagi memastikan wanita yang melahirkannya itu dapat kembali sembuh seperti sediakala.


“Kalau boleh jujur masih berharap sangat mama sembuh. Alhamdulillah Allah bantu.


“Saya hanya mampu berserah dengan doa kerana Allah yang memutuskan segalanya buat manusia, kita hanya mampu berusaha, tapi Allah yang berkhendak,” demikian antara petikan nota Irwansyah di akaun Instagramnya.


Dalam hantaran yang sama, Irwansyah juga menjetik emosi 12.2 juta pengikutnya dengan berkongsi cerita mengenai kebahagiaan ibu dan ayahnya diberi kesempatan menghabiskan masa bersama anak-anak dan cucunya.


“Mama papa mahu sangat lihat anak saya, Alhamdulillah mereka (berpeluang) melihatnya, mama papa mahu lihat anak-anaknya menjadi anak yang baik, Alhamdulillah menurut mereka kita baik, kalau mama sampai ke takdirnya Insya-Allah mereka berdua sudah tenang.


“Saya baru sedar betapa mereka bahagianya punya kita di waktu kita kecil, selepas kita besar (dewasa) mereka bahagia tapi mereka takut…. takut apa??? Takut anaknya tidak berhasil dan tidak beriman.


“Menurut mereka, kita sudah berhasil dan beriman, jadi tugas kita adalah menjaga pandangan mereka itu, Bismillah…” sambung Irwansyah.