top of page
  • newsatmy

COVID-19: Tidak mustahil kes positif cecah 9,000 kes sehari

25 Mei 2021

SHAH ALAM: Pakar kesihatan awam tidak menolak kemungkinan negara bakal menyaksikan peningkatan antara 8,000 hingga 9,000 kes COVID-19 dalam tempoh beberapa minggu akan datang.


Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, berdasarkan R-naught (Rt) 1.21, setiap 100 kes akan berpotensi menyebabkan jangkitan kepada 121 yang lain.


"Kes sebanyak 6,000 hingga 7,000 ini dijangka kekal dan mungkin meningkat ke 8,000 hingga 9,000 kes dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang," ujar Malina kepada Sinar Harian pada Isnin.


Katanya lagi, sekiranya sampai ke tahap sedemikian maka sewajarnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan segera.


"Kita sebenarnya minta dua minggu sahaja bukan beberapa bulan seperti PKP 1.0 dahulu.

"Namun buat masa ini, kita lihat kerajaan telah pun memberikan keputusan dan rasional untuk tidak melaksanakannya disebabkan faktor keperluan meneruskan aktiviti ekonomi," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, ditanya sama ada peningkatan kes COVID-19 juga disebabkan musim perayaan, Malina tidak menolak kemungkinan tersebut dan berkata, ia berpunca dari persepsi tidak mengapa, keinginan berhari raya bersama mereka yang rapat serta memandang mudah risiko jangkitan.


Tegas beliau lagi, isu sekarang bukan sahaja jumlah kes yang tinggi bahkan sistem perkhidmatan kesihatan yang mungkin lumpuh bila-bila masa.


"Sebelum ini, amaran peningkatan kes telah disuarakan seawal bulan April lalu yang mana sekiranya langkah membendung aktiviti yang memerlukan pelitup muka dibuka seperti acara sosial yang melibatkan makan minum, kes aktif boleh mencapai 50,000 kes menjelang hari raya.


"Di sini kita perhatikan tindakan oleh agensi berkenaan untuk bertindak agak mengambil masa. Pada hari ini kita hadapi peningkatan kes aktif sehingga hampir 60,000 dan ini menyebabkan sistem kesihatan kini tertekan.


"Kita perlu faham varian virus sekarang mudah berjangkit serta mempunyai kesan yang lebih serius terhadap individu yang dijangkiti.


"Dengan bilangan katil di hospital dan ICU yang semakin kritikal, kita perlu bersama-sama mengelakkan diri dari sebarang kemungkinan jangkitan," tegasnya.


Katanya lagi, rasa gerun dalam kalangan rakyat berikutan jumlah kes yang tinggi perlu disertai kesungguhan untuk mengelakkan diri daripada jangkitan.


Untuk rekod, sejak 19 Mei lalu sehingga Isnin, negara merekodkan lebih 6,000 kes COVID-19 sehari dan rekod tertinggi dicatatkan adalah pada Ahad lalu sebanyak 6,976 kes.


Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

bottom of page