Cukuplah bermain politik, ini masa untuk balas kepercayaan pengundi - Dr Sim
16 Januari 2022
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu buktikan ia bukan sahaja relevan tetapi boleh diharapkan untuk menjaga rakyat.
Justeru presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menggesa seluruh ahli parti itu untuk berhenti bermain politik, sebaliknya fokus untuk bekerja bagi membalas kepercayaan pengundi.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menegaskan aspirasi rakyat mesti ditunaikan bagimembuktikan SUPP bukan sahaja relevan tetapi boleh diharapkan untuk menjaga rakyat.
"Saya mahu semua pemimpin bertindak dan bekerja sebagai pemimpin sebenar, berhenti bermain politik, masa untuk berpolitik sudah tiada, sekarang masa untuk menjalankan tanggungjawab, masa untuk kerja.
"Kita tidak perlukan ahli yang hanya pandai berkata-kata, mulut cakap sayang parti tetapi hati mengatakan sebaliknya, " tegasnya semasa berucap pada Persidangan Tahunan Perwakilan SUPP 2021 di Dewan Sa'ati Ibu Pejabat SUPP pada Ahad.
Tambahnya, SUPP akan terus melangkah dengan pelbagai transformasi termasuk perancangan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13) yang akan diadakan pada 2027.
"Kita perlu memandang jauh ke hadapan, tahun 2027 dengan jangkaan beberapa kerusi baharu, ya akan ada kerusi baharu, jadi kita harus memikirkan dan bertindak bermula dari sekarang, banyak kerja yang akan dilakukan.
"Melihat kepada pencapaian PRN12, rakyat menolak parti dari Semenanjung, malah SUPP juga menang dengan pengundi Cina kembali menyokong SUPP, jika kita berjaya melakukannya (pada PRN12) kita mampu mengulanginya kelak pada masa akan datang," katanya.
Kata Dr Sim, parti perlu berubah mengikut peredaran zaman sekiranya tidak mahu hilang sokongan daripada rakyat seperti yang berlaku kepada parti pembangkang.
"Kita akan terus melakukan transformasi parti dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, kita bergerak dalam satu pasukan untuk parti dan untuk Sarawak, bukan untuk kepentingan individu dan cawangan semata-mata,"ujarnya.
Comments