top of page
  • newsatmy

Dakwa Kerajaan Gagal… Muhyiddin Ibarat ‘Meludah Ke Langit’ – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 25 Sept – Tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri gagal adalah ibarat seperti ‘meludah ke langit’.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebenarnya tiga orang pemimpin daripada PPBM terlibat secara langsung dalam menguruskan ekonomi negara.


“Parti mereka (PPBM) ada tiga orang yang terlibat dalam pengurusan ekonomi. Pertama, Datuk Seri Mustapa Mohamed daripada Jeli yang melompat (daripada UMNO). Beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).


“Satu lagi, parti mereka ada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan tambah seorang lagi, parti mereka ada Pengerusi MPN yang termasuk dalam pemulihan ekonomi iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Pontian itu berkata, sekiranya mereka mengatakan bahawa ekonomi negara gagal itu adalah berpunca daripada mereka sendiri.


“Oleh itu, kalau mereka kata ekonomi negara gagal, merekalah yang gagal sebab mereka adalah menteri-menteri ekonomi.


“Pada pandangan saya, dia seumpama ‘meludah ke langit’. Kalau istilah peribahasa orang Melayu, ludah itu kena ke muka sendiri,” katanya lagi.


Tambah Ahmad lagi, adalah sukar untuk mentadbir negara dalam keadaan satu parti yang di dalamnya ada musuh politik.


“Oleh itu pada pandangan saya, sukar untuk kita berada dalam satu parti yang di dalamnya ada musuh politik. PPBM jadi musuh politik kita di Melaka dan Johor. Lepas itu kita pula berada di pusat dengan musuh-musuh politik PPBM ini, menjadikan kita sukar untuk mentadbir negara dengan baik.


“Saya tak nampak ada negara lain yang sepelik Malaysia ini dari segi politiknya. Jadi kita hentikan politik-politik yang pelik macam Malaysia ini. Di negeri kita tak bersama, di pusat kita bersama. Jadi, harapnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) PRU ke-15 perkara yang pelik dan ketidakstabilan politik ini tidak berlaku lagi,” katanya lagi.


Pada Isnin media melaporkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka membidas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting

.


bottom of page