top of page
newsatmy

Dakwaan Tidak Berasas – Mas Ermieyati

8 Disember 2021

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Peguam Negara sebagai pendakwa raya kadang-kadang tidak membenarkan pendakwaan dibuat ke atas pihak disyaki melakukan kesalahan berkaitan pencemaran sungai dan udara, adalah tidak berasas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, sebaliknya berkata pendakwaan di mahkamah terhadap suspek adalah bergantung pada hasil siasatan sesuatu kes.


“Bagaimanapun, selaras dengan kehendak undang-undang bawah Seksyen 44 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 125], izin pendakwaan mestilah diperoleh terlebih dahulu daripada pendakwa raya.

“Arahan pertuduhan hanya akan dikeluarkan selepas pendakwa raya berpuas hati bahawa segala keterangan dalam kertas siasatan adalah mencukupi untuk membuktikan elemen pertuduhan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Menjawab soalan tambahan Mukhriz pula, beliau menjelaskan sebarang keputusan berkaitan tindakan pendakwaan, ia mesti terlebih dulu mengambil elemen pembuktian sebelum satu-satu pendakwaan dilaksanakan.

“Saya faham mengenai kegusaran Yang Berhormat (Jerlun). Kita memberikan perhatian bahawa tidak ada campur tangan mana-mana pihak yang boleh memberi gangguan terhadap mana-mana pendakwaan atau mana-mana siasatan (berkaitan isu pencemaran alam sekitar),” katanya.

Comments


bottom of page