top of page
  • newsatmy

DAP buat kenyataan songsang isu judi


KUALA LUMPUR, 4 Jan – Permintaan DAP Kedah yang mahu kerajaan negeri Kedah mengkaji semula keputusan menutup premis judi diibaratkan selerti kenyataan songsang.


Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, gesaan itu bertentangan dengan etika masyarakat serta penekanan semua agama yang melarang perjudian.

Katanya, alasan kononnya pertimbangan tersebut wajar dibuat demi keharmonian kaum juga tidak dapat diterima.


Nurul Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Kelantan dan Terengganu sudah lama mengharamkan judi dan tindakan tersebut terbukti tidak menimbulkan ketegangan kaum.

“Di kedua-dua negeri itu tidak pula timbul isu yang mengakibatkan ketegangan atau merosakkan keharmonian kaum.

“Sebaliknya aktiviti perjudian yang lebih merosakkan masyarakat serta institusi keluarga apabila mengheret pelaku melakukan apa sahaja untuk berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


DAP Kedah berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha judi berlesen seperti biasa bagi memastikan keharmonian kaum.


Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Setiausahanya, Teh Swee Leong berkata, tindakan untuk menghentikan lesen judi tidak boleh diterima kerana akan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.


Tambah Nurul Amin, kenyataan mereka sangat naif dan bertentangan dengan kehendak masyarakat di negeri ini yang mahukan sebuah negeri selamat, harmoni dan aman.

“Usaha kerajaan Kedah menghentikan lesen premis perjudian perlu disokong semua pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu kenyataan beliau turut menimbulkan persoalan adakah DAP merupakan sebuah parti yang memberi sokongan kepada aktiviti perjudian dalam negara ini,” katanya.

bottom of page