top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

DAP tidak terima Norhizam sebagai rakan - Low Chee Leong

Updated: Oct 8, 2021

8 Oktober 202

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong menyangkal kenyataan dikeluarkan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee berhubung 11 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bersama empat lagi ADUN dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.


Menurut Chee Leong, hal itu tidak ada dibincangkan bersama pimpinan parti malah Pengerusi PH negeri juga menafikan hal itu.


“Merujuk kepada pengumuman Norhizam semalam, ADUN PH bersama empat orang ADUN yang mengisytiharkan tidak lagi sokong kerajaan PN akan menghadap Agong, Pengerusi PH Melaka Adly (Zahari) telah menafikan perkara ini.


“Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua ADUN PH menerimanya sebulat suara. Jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan,” katanya.


Chee Leong turut meminta supaya Norhizam bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat tanpa memaklumkan kepada PH.


“Norhizam ini siapa, PH tidak ada membangkitkan perkara ini dan kita tahu tidak boleh menghadap Agong tanpa melalui protokol yang betul,” katanya.


Sementara itu, Adly menerusi laman Facebook miliknya turut memaklumkan tiada rancangan bertemu Agong akan dilakukan dalam masa terdekat ini oleh PH Melaka.


Sebaliknya beliau memaklumkan, fokus pihaknya kini untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati perkara 19(2) perlembagaan negeri.


Semalam, satu kenyataan media dikeluarkan Norhizam mengatakan 15 ADUN akan menaiki bas ke Istana Negara, hari ini, bagi menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Ia bagi menyelesaikan krisis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang didakwa secara tergesa-gesa dan bertentangan dengan apa yang diamalkan di pentadbiran pusat oleh Agong.


Beliau, turut mendakwa terdapat ‘double standard’ dalam keputusan dibuat itu walaupun pihaknya sudah membentuk majoriti secara fizikal.

bottom of page