top of page
  • Writer's pictureNihaba

Darurat: Ditamatkan atau Dilanjutkan?

14 Jun 2021

Pakatan harapan di dalam kenyataan bersama diantara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Jumaat lepas berpendirian secara konsisten untuk mendesak agar darurat segera ditamatkan dan keperluan untuk Parlimen dibuka semula. Jelas mereka lagi, PH merupakan sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, dan hanya penyelesaian di Parlimen sahaja boleh menangani isu-isu dan permasalahan rakyat berkaitan isu Covid-19, ekonomi malahan politik kerana ia memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik.


Sementara itu, Umno melalui presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengambil pendirian yang sama agar darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang ditamatkan selepas 1 Ogos dan Parlimen dapat diteruskan seperti biasa. Perkara itu telah disampaikan beliau sendiri sewaktu diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah di Istana Negara, pagi Jumaat lepas. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata tanpa Proklamasi Darurat pun Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menguruskan soal berkaitan COVID-19 serta isu-isu lain yang berkaitan. Ujarnya lagi, Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan, dan wujud elemen akauntabiliti dan serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara.


Kedua-kedua blok ini jelas menyatakan pendirian untuk segera menamatkan darurat dan mahukan sidang Perlimen dibuka semula. Malah, mereka beranggapan darurat hanyalah alasan untuk mencapai kepentingan politik kerajaan sedia ada.


Sebelum kita mengulas lebih lanjut, adalah penting untuk kita sendiri memahami takrifan darurat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Darurat sering dikaitkan dengan keadaan huru-hara dan kacau-bilau dan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam sesebuah negara. Darurat bersifat sementara dan tidak dapat terkawal oleh undang-undang biasa. Perlembagaan persekutuan mengizinkan hal yang dilarang dalam keadaan biasa atau normal semasa berlakunya darurat untuk mewujudkan semula keamanan dan ketenteraman. Kuasa yang berpunca daripada darurat adalah bertentangan dengan inti sari dan tuntutan perlembagaan. Hal ini demikian kerana perlembagaan menekankan dan menuntut kuasa yang terhad manakala darurat mengizinkan kuasa yang tidak terbatas.


Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada YDPA untuk mengistiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam. Walaupun secara literal, YDPA yang mengisytiharkan darurat, tetapi dari segi realiti, kerajaan yang mengisytiharkan darurat. Ini adalah kerana Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan telah mengehadkan kuasa YDPA dengan mewajibkan YDPA bertindak atas nasihat jemaah menteri. YDPA sebenarnya tidak mempunyai kuasa budi bicara untuk mengisytiharkan darurat. Keadaan ini telah timbul dalam kes Stephen Kalong Ningkan dimana Mahkamah Tinggi Kuching dan mahkamah telah memutuskan bahawa pemecatan Datuk Stephen Kalong adalah tidak sah kerana Yang Dipertua tidak mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri melainkan satu undi tidak percaya telah diluluskan dalam Majlis Negeri. Walaupun undi percaya adalah sesuatu yang penting untuk menuntukan samada seorang ketua menteri masih mendapat sokongan dari anggota-anggota dalam Majlis Negeri, namun Datuk Stephen ketika itu enggan memanggil mesyuarat Majlis Negeri Sarawak


Perkara 150(2) memberi kuasa kepada YDPA untuk mengisytihar darurat sebelum berlakunya keadaan yang akan mengancam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. YDPA mempunyai kuasa untuk mengisytiharakan suatu darurat walaupun hanya terdapat tanda-tanda bahawa kejadian yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam itu akan berlaku. Perkara 150(2) memberi kuasa kepada YDPA untuk membuat perisytiharan darurat jika baginda berpuas hati bahawa ada kemungkiran yang hampir kejadian yang mengancam keselamtan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam itu akan berlaku.


Perkara 150(2B) memberi kuasa kepada YDPA untuk membuat serta mengisytiharkan ordinan darurat atas nasihat Jemaah Menteri kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen bersidang serentak. Ordinan hanya boleh dibuat oleh YDPA apabila Parlimen tidak bersidang. Yang di-Pertuan Agong tidak ada kuasa membuat ordinan darurat selepas Parlimen telah bersidang semula. Perkara ini telah dibangkit dalam kes PP v Khong Teng Khen dan kes Teh Cheng Poh v PP dan akhirnya Majlis Privy memutuskan bahawa setelah parlimen bersidang semula, YDPA tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat peraturan-peraturan darurat dan hanya parlimen yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang darurat.


Perkara 150 (2C) telah memperuntukan ordinan-ordinan darurat yang dibuat dan diisytihar oleh YDPA di bawah perkara 150 (2B) hendaklah berkuatkuasa sama seperti akta darurat yang dibuat oleh Parlimen di bawah perkara 150(5). Ini bermakna kuasa membuat ordinan darurat yang dimiliki oleh YDPA mempunayi keluasan yang sama dengan kuasa parlimen untuk membuat akta darurat. Boleh dikatakan, semasa darurat, YDPA dan parlimen memegang kuasa yang sama besar untuk membuat undnag-undang darurat. Ini juga bermakna ordinan darurat yang dibuat oleh YDPA mempunyai taraf yang sama dengan akta darurat yang dibuat oleh parlimen.


Perkara 150(3) menyatakan bahawa ordinan yang dibuat oleh YDPA perlu dibentangkan di dalam dua dewan parlimen untuk mengesahkan atau membatalkan peristiharaan itu. Namun begitu, jika perisytiharaan itu dibatal oleh parlimen, YDPA masih mempunyai hak untuk mengisytiharkan ordinan tersebut dengan alasan lain.


Fasal 4 dalam perkara 150 menyatakan bahawa semasa perisytiharaan darurat berkuatkuasa, kuasa pemerintahan Persekutuan adalah meliputi apa-apa perkara di bawah kuasa perundangan sesuatu negeri. Pemerintah persekutuan mempunyai hak untuk memberi arahan kepada kerajaan negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihak berkuasa negeri tersebut. Dengan kata yang lain, pembahagian kuasa perundangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diperuntukkan dalam Jadual sembilan Perlembagaan Persekutuan boleh diketepikan. Perkara 150(4) juga memberi kuasa kepada pemerintah Persekutuan untuk meminda perlembagaan sesebuah negeri. Hal ini pernah berlaku di Sarawak pada tahun 1966 dan Kelantan pada tahun 1977.


Perkara150(5) memperuntukkan bahawa semasa perisytiharaan darurat berkuasa, parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara, jika Parlimen berpendapat bahawa undang-undang itu amat dikehendaki untuk memulihkan keselamatan dan keamanan. Dengan kata lain, parlimen mempunyai kuasa yang luas dan berbeza dengan keadaan biasa dalam membuat apa-apa undang semasa keadaan darurat. Jadual kesembilan yang membahagi kuasa perundangan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan ditepikan dalam keadaan darurat seperti apa yang berlaku di Sarawak di dalam kes yang sama seperti yang disebutkan di atas.


Perkara 150(6) membenarkan Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong meluluskan apa juga undang-undang untuk keperluan ketika darurat setelah ia diisytiharkan. Undang-undang untuk tujuan ini dibenarkan walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan. Setakat ini tiada lagi hujah yang dikemukakan menunjukkan bahawa akta parlimen berkaitan darurat boleh terbatal malah Akta Darurat yang dibuat oleh Parlimen boleh meminda perlembagaan Negeri. Walaubagaimanapun, Perkara 150(6A) menegaskan, terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa. Ketertinggian kedudukan undang-undang Islam dapat dilihat daripada peruntukan ini dengan memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat tidak boleh membabitkan perkara berkaitan undang-undang Islam.


Dalam Perkara 150 (7), sesuatu ordinan darurat itu diberikan nafas selama enam bulan lagi untuk berkuat kuasa selepas dari tarikh tamat darurat itu. Selepas daripada tempoh itu, ordinan dan peraturan itu, tidak akan berkuat kuasa lagi. Sungguhpun banyak syarat yang menjadi prinsip semasa darurat dilakukan, perisytiharan darurat oleh YDPA tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana mahkamah pun.


Dalam Perkara 150 (8A) dan Perkara 150 (8B) menekankan bahawa, tiada mahkamah yang berkuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding mengenai kesahan perisytiharan yang dibuat YDPA berkaitan dengan tempoh kesinambungan darurat, undang-undang dan operasi darurat.


Fasal terakhir dalam perkara 150 Perlembagaan Persekutuan iaitu Fasal (9) pula menyatakan tentang ‘ bagi maksud Perkara ini Majlis-majlis Parlimen hendaklah dianggap sebagai bersidang hanya jika ahli tiap-tiap satu Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis itu”. Situasi ini merujuk kepada sebarang perhimpunan yang dibuat dan melakukan urusan tersebut maka keadaan ini dinyatakan sebagai satu bentuk persidangan. Mengikut Perkara 150 (9), Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dianggap bersidang walaupun ahli Majlis tersebut hanya berhimpun bersama-sama untuk urusan Majlis itu.


Jika dilihat senario darurat kesihatan yang diisytiharkan bermula 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, ia dibuat setelah perdana Menteri mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan kerana YDPA tertakluk kepada Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah menghadkan kuasa YDPA dengan mewajibkan YDPA bertindak atas nasihat jemaah menteri. YDPA telah diyakinkan oleh kabinet untuk mengisytiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam. Dari sudut perundangan dan perlembagaan, pengsiytiharan ini adalah sah malah tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun di mahkamah seperti yang termaktub di dalam Perkara 150 (8A) dan Perkara 150 (8B) menekankan bahawa, tiada mahkamah yang berkuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding mengenai kesahan perisytiharan yang dibuat YDPA berkaitan dengan tempoh kesinambungan darurat, undang-undang dan operasi darurat. Tidak kisahla mana-mana ahli Parlimen dari mana-mana parti sekalipun, sekiranya tidak bersetuju dengan ordinan darurat yang telah diisytiharkan, buatla apa sekalipun pasti tidak akan memberikan apa-apa kesan sekalipun kepada keputusan YDPA berkaitan Proklamasi Darurat.


Namun kuasa ini akan terhad jika Parlimen bersidang, dan ia juga terpakai untuk Ordinan Darurat yang telah dikuatkuasakan selaras dengan Perkara 150(2B) dimana dinyatakan dengan jelas bahawa Ordinan hanya boleh dibuat oleh YDPA apabila Parlimen tidak bersidang. Yang di-Pertuan Agong tidak ada kuasa membuat ordinan darurat selepas Parlimen telah bersidang semula. Setakat ini, ordinan yang telah dikuatkuasakan adalah seperti berikut:-


i. Ordinan yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19. Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.


ii. Ordinan yang memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.


iii. Ordinan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta ini dalam membendung penularan COVID-19. Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19.


iv. Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini.


v. Ordinan untuk menangguhkan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


vi. Ordinan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil.


Kesemua ordinan ini boleh terbatal dan dimansuhkan sekiranya sidang Parlimen diadakan kerana YDPA tidak mempunyai kuasa untuk menggubal ordinan berkaitan darurat, dan sebarang ordinan akan diputuskan ketika usul dibentangkan di dalam sidang Parlimen.


Apa yang boleh kita perhatikan disini, risiko besar akan melanda negara sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang kerana pastinya ahli-ahli Parlimen ini akan bertelagah sesama sendiri sehinggakan untuk meluluskan sesuatu usul yang mempunyai kepentingan secara langsung kepada rakyat mengambil masa yang terlalu lama dan berpotensi besar untuk tidak diluluskan. Bayangkan di dalam kita sedang melalui fasa getir berperang dengan pandemik Covid-19, majoriti orang politik bercerita mengenai kuasa dan usul undi tidak percaya kepada perdana Menteri semata-mata untuk memegang tampuk kuasa negara. Tidak kurang juga susunan dan Gerakan untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen di dalam menentukan nasib kerajaan pada hari ini. Secara jujur, tidak ada apa pun yang boleh kita harapkan sekiranya Parlimen bersidang kerana bantuan untuk rakyat semakin lambat disebabkan terpaksa melalui proses birokrasi kononnya atas nama semak dan imbang. Polis dan tentera juga tidak dapat digerakkan dengan optimum kerana pastinya bajet berkaitan kementerian ini akan dibahas dan dirungkaikan satu-persatu sehingga melengahkan proses keamanan dan keselamatan yang boleh dikawal oleh kedua-kedua entity penting negara ini. Harga barang-barang keperluan sudah pasti akan melambung tinggi dan tidak terkawal kerana tindakan yang lambat disebabkan sebarang usul perlu dibentangkan dan dibahas di dalam sidang Parlimen.


Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan dengan alasan kerajaan gagal membawa aspirasi rakyat, gagal membantu rakyat kebanyakan yang terkesan akibat Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih sadis, ada yang mempertikaikan perintah untuk mengimarahkan masjid untuk solat berjemaah. Bayangkan jika sidang Parlimen dibuka semula dan darurat ditamatkan seperti kehendak mereka yang berkepentingan ini, sudah semestinya usul pertama yang akan dibawa adalah usul undi tidak percaya kepada perdana Menteri bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. Kemelut politik ini pastinya akan memakan masa dan ketika itu adakah kita yakin mereka ini akan dengar denyut nadi kita sebagai rakyat? Adakah mereka dengar keluh kesah kita di dalam mengharungi saat-saat sukar menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini?


Adakah mereka akan menambah baik bantuan dan subsidi serta peruntukan khas yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat bagi meringankan beban kita? Pastinya tidak kerana ketika sidang parlimen dibuka, peluang untuk menjadi kerajaan sudah terbuka luas dan itulah yang dikejar oleh mereka selama ini.


Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak pasti akan diadakan jika darurat ini ditamatkan kerana jika tidak dibuat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan. Ini jelas disuarakan ketika ditanya kepada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing yang berpendirian ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini dan antaranya Singapura, Korea Selatan dan terbaru ini, New Zealand asalkan rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan. Pengajaran terhadap apa yang berlaku ketika PRN Sabah langsung tidak dipedulikan walaupun kita tahu ketika itu PRN Sabah juga dilaksanakan dengan SOP yang agak ketat tetapi kes yang dilaporkan ketika dan selepas PRN bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ini pastinya merencatkan usaha kerajaan di dalam memerangi pandemik Covid-19 sekitranya darurat ditamatkan.

Tanyalah pada diri dan minda masing-masing, yang mana lebih utama, nyawa rakyat atau tampuk kuasa pemerintahan? Sepatutnya kita mengamalkan salah satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs. Adalah menjadi kewajipan semua yang bergelar pemimpin untuk menjaga nyawa rakyat dengan daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam.


Pada saya, ketika ini sudah amat memadai dengan keputusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta kepakaran, bertepatan dengan usaha kerajaan melindungi keselamatan rakyat dalam mendepani Covid-19. Jawatankuasa ini pasti dapat memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan langkah harus diambil dalam menangani pandemik berkenaan. Jawatankuasa ini adalah selaras dengan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dengan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. Keanggotaannya pula terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan. Jadi, apa perlunya lagi sidang Parlimen ketika darurat ini?


Kesimpulannya mudah, untuk menangani sesuatu krisis, kuasa sepusat perlu ada dan perlunya kita hindari hujah dan argumen yang sia-sia serta pastinya akan melambatkan proses-proses yang perlu disegerakan di dalam Ordinan yang telah diwujudkan ketika darurat. Darurat perlu dilanjutkan untuk kita menang di dalam peperangan ini. Darurat perlu dilanjutkan untuk menjaga kemaslahatan rakyat ketika situasi yang mencabar dan sangat terkesan kepada mereka. Darurat perlu dilanjutkan untuk mengelakkan PRN dibuat yang pastinya akan ada perhimpunan besar-besaran sama ada ketika berkempen mahupun ketika mengundi yang boleh merisikokan usaha mengawal penularan pandemik Covid-19 ini.


Darurat perlu dilanjutkan demi memastikan kita mencapai imuniti kelompok 80% daripada populasi rakyat Malaysia secepat yang mungkin demi kehidupan yang lebih normal dan menghampiri norma sebelum ini. Akhir sekali, darurat perlu dilanjutkan untuk menghalang ahli-ahli politik rakus kuasa, bercakaran sesama sendiri di dalam mengejar cita-cita mereka memerintah negara tanpa sedikit pun memperdulikan nasib rakyat ketika ini



Mohammed Nizam Bin Hassan.



--PN Online


bottom of page