• newsatmy

De Bruyne pastikan Man City makin mengganas

16 Januari 2022

MAN CITY 1 CHELSEA 0

Kevin De Bruyne meledak gol kemenangan untuk Manchester City melebarkan pendahuluan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 13 mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas pencabar terdekat, Chelsea.


Jaringan tunggal De Bruyne dalam pertembungan sengit di Stadium Etihad malam tadi menjadi pemisah ketika permainan berbaki 20 minit.

The Blues bergelut untuk mengekalkan penguasaan bola tetapi masih mempunyai peluang untuk merobek gawang lawan, cuma ketumpulan Romelu Lukaku dan Hakim Ziyech dalam serangan balas sering tidak menjadi.


City kendalian Pep Guardiola kini memenangi 12 perlawanan liga berturut-turut dan kelihatan semakin sukar untuk dikekang dalam usaha mengekalkan kejuaraan.


Tuan rumah mendominasi sebahagian besar separuh masa pertama tetapi harus menarik nafas lega dengan kegagalan Lukaku dan Ziyech memanfaatkan peluang Chelsea sebaik perlawanan bersambung.


Peluang terbaik tuan rumah hadir pada 45 minit pertama melalui tekanan tinggi tetapi Kepa Arrizabalaga tangkas mematahkan rembatan Jack Grealish dengan kaki kirinya.


Pelawat sepatutnya mendahului selepas dua minit separuh masa kedua yang menyaksikan Lukaku menerima lorongan daripada Mateo Kovacic, tetapi Ederson menepis rembatannya sebelum tindakan susulan Ziyech melepasi palang.


Pendahulu EPL itu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-70 apabila bekas pemain Chelsea, De Bruyne, menyusp dari sebelah kiri sebelum melepaskan tendangan dari jarak 22 ela.


The Blues cuba mencari gol penyamaan tetapi City tidak goyah untuk memungut tiga mata bagi mengorak langkah dalam misi menjulang trofi EPL buat sekian kalinya.