• newsatmy

Delima MOU PH dan kerajaan


RAMAI orang mungkin tidak sedar atau tidak nampak ada apa-apa yang istimewa apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin di saat-saat akhir pentadbirannya telah menawarkan kerjasama rentas parti antara Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti di luar kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu membuat tawaran bersyarat tersebut pada 13 Ogos lalu sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September.


Namun, tawaran itu tidak mendapat layanan atas alasan ia tidak dibincangkan terlebih dahulu dan kesuntukan masa.

Melihat ke belakang, adalah tidak logik mengharapkan pembangkang atau mana-mana pihak menerima, atau mempercayai tawaran tergempar dan sebelah pihak itu.


Lagipun, menjadi matlamat pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan PN yang merampas kuasa daripada mereka pada Februari 2020.

Parti anggota PN turut menganggap tawaran Muhyiddin mengelirukan kerana kurang atau tiada langsung perbincangan mengenainya.

Apabila kerajaan Muhyiddin tumbang pada 16 Ogos kerana hilang sokongan majoriti Dewan Rakyat, pengganti beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengambil tawaran itu sebagai acuan dan menawarkannya semula kepada pembangkang.

Tawaran itulah yang pada 13 September ditandatangani oleh Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH sebagai Memorandum Persefahaman (MoU). Buat beberapa ketika, persefahaman tersebut memberi harapan bahawa Ismail Sabri akan melaksanakan reformasi pentadbiran dan institusi yang dijanjikan kepada PH.


Kita kena ingat bahawa reformasi pentadbiran dan institusi adalah janji utama PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dimenanginya. Jadi, tidak hairanlah jika PH bersedia memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi itu tanpa gangguan.

Bagaimanapun, pada 14 Oktober lalu, tersiar berita bahawa PH kecewa dengan Perdana Menteri kerana didakwa tidak memberi pengiktirafan PH dalam isu pengecualian faedah moratorium pinjaman bank.

PH mendakwa Ismail Sabri telah tidak memberi pengiktirafan bahawa perkara tersebut terkandung dalam MoU, sebaliknya menggambarkan keputusan itu sebagai inisiatif kerajaan semata-mata.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama berkata, pengecualian tersebut adalah pendirian konsisten PH yang dilaksanakan dalam semangat menunaikan janji-janji yang terkandung dalam MoU.

PH menambah, tanpa pengiktirafan oleh Perdana Menteri atas peranan persefahaman tersebut, ia boleh menjejaskan keyakinan PH terhadap keikhlasan kerajaan untuk berpegang kepada semangat memorandum yang dipersetujui bersama.

Menurut kenyataan itu lagi, pada awalnya kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan PH untuk memberi pengecualian faedah kepada peminjam daripada kumpulan B50.

Dalam usaha memastikan keputusan tersebut dilaksanakan sepenuhnya, pimpinan utama PH telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan ketua-ketua pegawai eksekutif bank-bank komersial.

Namun, PH tetap menyambut baik persetujuan Perdana Menteri terhadap tuntutan pengecualian faedah selama tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran seperti terkandung dalam MoU.

Rungutan PH itu adalah contoh kecil sahaja kepada dilema besar yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat dengan MoU berkenaan.

Masing-masing hendak membuktikan bahawa segala yang baik adalah idea mereka. Bagi Ismail Sabri, beliau tidak mahu dilihat tunduk kepada PH dengan melaksanakan agenda reformasinya, manakala PH pula takut dipermainkan oleh Perdana Menteri yang mempunyai kuasa eksekutif cukup luas.

PH perlu berhati-hati agar modal politiknya tidak dirampas terus oleh Ismail Sabri.

Pada masa sama, alangkah baik bagi PH jika hasil daripada MoU itu, agenda reformasinya dilaksanakan oleh Perdana Menteri.

Kesimpulannya, walaupun MoU antara kerajaan dengan PH itu tidak mematikan segala keraguan, namun sedikit sebanyak ia telah meredakan persaingan politik dan menstabilkan kedudukan Perdana Menteri.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara