top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Demi My Name, Han So-hee naik 10 kilogram

6 Oktober 2021

Pelakon terkenal Korea Selatan Han So-hee mendedahkan berat badannya naik 10 kilogram (kg) selepas membintangi drama aksi terbaharu berjudul My Name.

So-hee, 27, menjelaskan, berat badannya naik selepas dia melakukan regim senaman secara rutin dan mengikuti kelas aksi selama tiga bulan demi watak Jiwoo.

“Memang benar berat badan saya naik disebabkan oleh otot yang terhasil daripada regim senaman dan latihan fizikal yang ketat.

“Saya lakukan banyak senaman dan makan apa yang ingin dimakan sampai satu tahap berat badan naik sebanyak 10kg,” ujar So-hee dalam sidang akhbar yang berlangsung secara virtual dari Korea Selatan semalam.

Perkara tersebut turut disahkan oleh pelakon gandingannya, Park Hee-soon. Katanya, demi memberi yang terbaik untuk drama My Name, So-hee yang dikenali sebagai wanita feminin dan lemah lembut telah berubah secara drastik.

“Semua pelakon mengikuti kelas latihan fizikal selama dua bulan, tetapi So-hee bermula awal sebulan daripada kami semua.

“Berat badannya naik 10kg dan kami semua terkejut daripada seseorang yang langsung tidak pernah melakukan senaman Pilates, dia telah sampai sejauh ini,” tutur Hee-soon.

Perubahan drastik tersebut turut diakui So-hee kerana selepas penggambaran drama My Name berakhir dia kini mula berjinak-jinak dengan sukan kickboxing.

Jelas pelakon yang mula meraih populariti menerusi drama The World Of The Married itu, dia sendiri tidak menyangka akan jatuh cinta dengan aktiviti lasak.

“Selepas penggambaran My Name, saraf motor saya telah menunjukkan peningkatan dan pergerakan lebih pantas. Kini, saya mengikuti kelas kickboxing,” kata So-hee.

Selain So-hee drama My Name yang diarahkan oleh Kim Jin-min itu turut dibintangi oleh Park Hee-soon, Ahn Bo-hyun, Kim Sang-ho, Lee Hak-ju, Jang Yull dan Gyeong-ho.

My Name yang mengisahkan pembalasan dendam seorang gadis kerana kematian bapanya bakal disiarkan secara eksklusif dalam Netflix bermula 15 Oktober depan. – K! ONLINE


bottom of page