• Arissa

'Dengar nasihat pakar' antara saranan pemerhati kerajaan baharu

26 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Dengar pandangan pakar dan ambil kira pendapat majoriti rakyat dalam menguruskan pandemik COVID-19 di negara ini adalah antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Pemerhati politik dan kesihatan berpendapat beberapa kesilapan pentadbiran terdahulu dalam menguruskan COVID-19 merupakan penyebab utama ia kehilangan keyakinan majoriti rakyat yang rata-rata semakin tertekan berikutan keadaan pandemik dan ekonomi bertambah parah.


Perbetulkan kesilapan itu jika ingin meraih kembali keyakinan rakyat, kata pemerhati terbabit ketika masing-masing dihubungi Bernama.


Pendapat mereka ada kebenarannya. Pada hari Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020, Malaysia hanya merekodkan empat kes COVID-19, namun pada hari beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Ogos 2021, sebanyak 19,740 kes baharu dan 274 kematian dilaporkan pada hari berkenaan.


Ismail Sabri jelas menyedari perkara itu apabila dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan, beliau berikrar untuk mengutamakan pengurusan pandemik yang seterusnya akan membantu pemulihan ekonomi negara, dengan bekerja bersama pihak berkepentingan termasuk sektor swasta.


Dengar serta terima nasihat pakar antara perkara yang ditekankan oleh pemerhati politik dan kesihatan, selain membuat keputusan berdasarkan data dunia nyata walaupun tidak popular.


Kata mereka kerajaan juga perlu menggubal garis panduan yang jelas dalam mengekang penularan COVID-19, selain menjelaskan alasan di sebalik setiap arahan yang dikeluarkan.

"Kemungkinan besar kerajaan terdahulu tidak mendengar nasihat yang diberikan oleh pakar," kata penganalisis politik dan ahli geostrategi Dr Azmi Hassan sambil memberi contoh Pilihan Raya Negeri Sabah dan penganjuran bazar Ramadan.


Pada hari Sabah memilih pada 26 Sept 2020, sebanyak 82 kes dilaporkan dan melonjak kepada 375 kes dua minggu demikian. Pada hari pertama Ramadan tahun ini pula, sebanyak 1,767 kes harian dicatatkan namun meningkat berkali ganda kepada 9,020 kes pada 29 Mei lepas, dua minggu selepas Ramadan berakhir.


Bagi mengelakkan perkara sama berulang, pakar epidemiologi mahu kerajaan baharu menyediakan kaedah pengumpulan data yang lebih baik dan telus selain berkongsi data dengan pihak yang berkenaan.


Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata perkongsian data dan analisis juga harus dilakukan pada peringkat setempat bagi membantu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti kawasan panas, sekali gus membolehkan penumpuan langkah intervensi di kawasan berkenaan.


"Sekarang ini semua pihak bergantung pada Putrajaya untuk analisis, data dan juga intervensi," katanya.


Pakar Epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud pula berkata antara lain, kerajaan baharu wajar mengadakan sistem pengesanan awal, menjalankan lebih banyak survelans genom serta menggunakan data raya dengan lebih berkesan.


Katanya kerajaan juga harus memperkenalkan petunjuk tambahan yang dapat mengukur kadar kepantasan penularan wabak, keberkesanan vaksin serta nilai korelasi ruang-masa (spatio-temporal correlation values) iaitu menjejaki di mana jangkitan berlaku dan kadar kepantasan jangkitan merebak dari satu tempat ke tempat lain.


"Semua data granular yang boleh digunakan untuk pengurusan pandemik harus didedahkan kepada pakar di luar Kementerian Kesihatan.


"Analisis juga perlu berkualiti tinggi kerana penemuan daripada kajian akan digunakan dalam penggubalan dasar, justeru penelitian rapi oleh panel pakar bebas diperlukan," katanya kepada Bernama.


Tambah beliau, Malaysia perlu membetulkan isu-isu yang telah berlarutan sejak sekian lama seperti perumahan pekerja yang kini diburukkan lagi oleh pandemik.


Katanya pentadbiran baharu perlu mula bersedia untuk masa depan dengan menambah baik tahap kesiapsiagaannya dalam mendepani pandemik, melabur dalam teknologi dan penyelidikan serta menstrukturkan semula ekonomi dan perkhidmatan awam bagi menjadikan negara ini lebih berdaya tahan ketika mengharungi pandemik.


Pakar bersetuju kaedah terbaik dalam menangani pandemik ini ialah pendekatan menyeluruh kerajaan dengan kerjasama dwipartisan. Namun, bagaimana kerjasama ini dapat dilaksanakan?


Dalam ucapan sulungnya, perdana menteri menawarkan tempat untuk pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta Jawatankuasa Khas mengenai COVID-19, namun beliau kemudian menjelaskan wakil rakyat pembangkang tidak akan dilantik menyertai Kabinetnya.


Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat yang menyambut baik kenyataan itu pula berkata Ismail Sabri perlu lebih berani.


"Beliau perlukan sesuatu yang lebih menarik berbanding MPN kerana MPN pada asasnya didominasi oleh menteri sementara wakil pembangkang pula berkemungkinan sekadar menjadi hiasan seperti yang berlaku pada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat," katanya.


Menurut beliau, penglibatan semua ahli Parlimen dan kerajaan negeri dalam membuat keputusan adalah penting agar "mana-mana dasar yang perlu namun tidak popular berpeluang untuk dijayakan" serta menerima sokongan masyarakat.


Dalam pada itu, pemerhati juga bersetuju antara sebab kejatuhan kerajaan pimpinan Muhyiddin ialah beliau terlalu banyak menghabiskan masa berpolitik termasuk dilihat mengambil sikap berdiam diri apabila menteri-menteri beliau bercanggah pendapat secara terbuka dalam soal dasar berkaitan COVID-19.


Dr Wong berkata orang ramai juga tidak berpuas hati apabila melihat seakan ada sikap pilih kasih dalam pelaksanaan hukuman kepada mereka yang melanggar sekatan pergerakan dengan rakyat biasa dikompaun beribu ringgit sementara sekutu politik hanya menerima denda kecil.


Kemarahan masyarakat bertambah apabila mereka menghabiskan hampir dua pertiga daripada 2021 ini di bawah sekatan pergerakan.


Ramai yang kehilangan pekerjaan selain banyak perniagaan muflis. Kes bunuh diri juga meningkat ketara.


Dr Azmi berkata bagi memulihkan kepercayaan rakyat, pelantikan menteri harus bersandarkan pada meritokrasi, bukan sokongan politik.


Katanya jumlah kementerian juga harus dikurangkan dan hanya terdiri daripada kementerian yang penting sahaja.


Beliau turut mengingatkan ahli politik bahawa kerjaya politik mereka mungkin tergugat sekiranya mereka kembali bermain politik dan gagal mengetepikan perbezaan pendirian untuk bekerjasama bagi mengawal COVID-19.


"Rakyat akan tentukan nasib mereka menerusi kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya mereka tidak menjaga kelakuan mereka," katanya.


Dalam pada itu, inisiatif pemvaksinan yang diusahakan oleh pentadbiran terdahulu ternyata satu pendekatan yang berkesan.


Sekalipun bermula perlahan, Malaysia kini antara negara yang mencatatkan kadar pemvaksinan terpantas dan dijangka mencapai liputan meluas menjelang akhir September.


Hospital di negeri-negeri yang merekodkan kadar vaksinasi tinggi kini melaporkan pengurangan jumlah kes jangkitan teruk.


Bagaimanapun pakar kesihatan menegaskan ini tidak bermakna negara kini sedia untuk dibuka semula, sekalipun bagi mereka yang telah lengkap dos vaksinasi, memandangkan masih ada dalam kalangan masyarakat yang belum divaksinasi atau langsung tidak beroleh akses kepada vaksin.


Dr Awang Bulgiba yang juga Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19, berkata perlu ada satu strategi pengurusan pandemik yang jelas hala tuju sebelum kelonggaran diberikan, dan beliau turut mengingatkan kerajaan baharu agar tidak memperjudikan laba yang diperoleh daripada program imunisasi tersebut.


"Sekarang bukan masa untuk melonggarkan sekatan walaupun untuk individu yang telah lengkap vaksinasi. Jangan longgarkan sekatan semata-mata hendak gembirakan sesetengah pihak," katanya, menambah belum ada bukti cukup yang menunjukkan jangkitan dalam kalangan populasi telah divaksinasi berkurangan.


Disebabkan kewujudan varian Delta, peranan vaksin adalah lebih kepada perlindungan secara langsung, bukan perlindungan daripada menjangkiti.


Sehubungan itu, pemvaksinan semua penduduk secepat yang mungkin adalah kritikal, kata pakar.


Setakat 23 Ogos lepas, 56.6 peratus penduduk dewasa telah menerima satu dos vaksin dengan kira-kira 40 peratus daripada populasi telah lengkap dua dos vaksinasi.


Antara kumpulan sasaran pemvaksinan ialah komuniti pendatang termasuk warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian.


Sekalipun program vaksinasi tanpa janji temu untuk kelompok itu di Lembah Klang yang berakhir pada 22 Ogos lepas menerima sambutan menggalakkan, dilaporkan ramai warga asing terbabit diminta pulang tanpa divaksinasi kerana tidak mempunyai dokumen diri.


Dr Awang Bulgiba berkata Malaysia seboleh-bolehnya perlu memastikan kesemua warga asing terbabit divaksinasi.


Tidak ada angka tepat mengenai jumlah warga asing tanpa dokumen sah dan pencari suaka di negara ini, namun Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) menganggarkan jumlah mereka sekitar 1.4 juta hingga tiga juta orang pada tahun ini.


"Jawatankuasa Penasihat Bebas yang saya ketuai mengesyorkan mereka diberi perhatian khas sejak Disember lepas kerana kami berpandangan mereka akan terus menjadi sumber jangkitan.


Orang ramai perlu faham bahawa vaksinasi adalah untuk semua, bukan untuk rakyat Malaysia sahaja.


Lihat sahaja pada kes yang meninggal di rumah (BID), jelas angka yang diwakili warga asing tidak seimbang, menunjukkan kadar jangkitan dalam kalangan mereka lebih tinggi daripada yang kita sedari," katanya.


Bersetuju dengan pandangan itu, Dr Zainal Ariffin berharap kerajaan baharu akan menyediakan akses kepada vaksin yang sama rata untuk semua.


"Jangan ada 'U-turn', jangan ada dwistandard, tumpukan pada pemvaksinan dan ketepikan sebarang elemen politik dalam membuat keputusan berhubung kesihatan," katanya.



-- BERNAMA