top of page
  • admin

Dennis Bekking Sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC

01 Okt

Pelantikan Pengarah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal Selangor untuk musim depan pastinya agak mengujakan bagi mereka yang mengetahui latar belakang individu ini.

Selepas tidak ditawarkan lanjutan kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Selangor pantas mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Belanda berusia 45 tahun ini bagi mengukuhkan hal teknikal melibatkan pasukan tersebut.

Fokusnya adalah menyelia latihan serta bengkel kejurulatihan bagi membangunkan dan memantau bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan. Bekking mempunyai pengalaman dengan beberapa kelab di Eropah dan kemudian mengemudi AMD yang mempunyai fasiliti yang serba lengkap.

Ianya dilihat selari dengan komitmen Selangor yang begitu giat memberi penekanan terhadap programnya di peringkat akar umbi dan membangunkan satu demi satu fasiliti sukan di pusat latihannya. Pelantikan Bekking pastinya amat penting untuk membina falsafah kelab selain terus memanfaatkan sains sukan untuk meningkat prestasi pasukan.

Kerjasamanya dengan barisan jurulatih seperti Tan Cheng Hoe dan Nidzam Jamil amat penting dalam menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

“Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini,” ujar Bekking dalam kenyataannya yang disiarkan oleh laman web rasmi Selangor FC.

“Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama.

“Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC.”

bottom of page