top of page
  • admin

Desakan PRU15 sekadar memenuhi agenda peribadi


WALAU apa pun alasan digunakan Zahid Hamidi bagi menunjukkan desakannya supaya PRU15 diadakan pada tahun ini adalah relevan, ia tidak dapat menutupi persepsi bahawa ia sebenarnya adalah bagi memenuhi agenda peribadi Presiden UMNO itu semata-mata.


Kenyataan paling menjengkelkan ialah Zahid yakin PRU15 akan diadakan sebelum musibah banjir pada tahun ini sedangkan pada ketika ini di beberapa kawasan seperti di Johor dan Perak sudah ada penduduk yang dipindahkan akibat rumah ditenggelami air.


Terdapat banyak kemudahan awam seperti sekolah, dewan orang ramai dan infrastruktur lain mengalami kerosakan disebabkan banjir kilat itu.


Cuaca pada waktu ini juga yang kerap berlaku hujan lebat dan ribut petir serta kadangkala mendung di banyak kawasan makin menguatkan lagi jangkaan ramalan banjir seperti yang diuar-uarkan Jabatan Meteorologi.


Tidakkah Zahid sedar desakannya itu amat menyusahkan rakyat apabila sudah banyak pandangan diberikan pakar iklim dan alam sekitar bahawa banjir bermula bulan depan hingga Mac 2023 dijangka lebih buruk.


Kita bersyukur dalam keghairahan Zahid dan UMNO mendesak PRU15 pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong turun padang mendengar taklimat agensi yang bertanggungjawab dalam persediaan banjir.


Keprihatinan Seri Paduka itu sewajarnya dicontohi pemimpin bawahan bahawa keutamaan ketika ini adalah mempersiapkan pasukan keselamatan untuk menghadapi banjir dan bukannya mempersiapkan mereka untuk mengadakan pilihan raya.


Rakyat juga perlu diberi bantuan untuk menyelamatkan diri, keluarga dan harta benda bagi menghadapi banjir dan bukannya untuk menyelamatkan agenda tertentu pemimpin politik.


Selain itu, ramai berpandangan bahawa untuk membubarkan Parlimen, suara UMNO sahaja tidak kuat untuk membuat desakan itu kerana kerajaan yang mentadbir negara bukan dipelopori oleh parti itu sahaja.


Dalam Perikatan Nasional (PN) terdapat Bersatu, Pas dan parti-parti lain yang secara jelas tidak mahu PRU15 diadakan dalam waktu terdekat kerana memikirkan kepentingan rakyat yang akan susah dengan tindakan tersebut.


Mereka yang terdiri daripada 12 menteri Bersatu dan Pas telah pun mengutus surat kepada Seri Paduka Baginda bagi menunjukkan kabinet tidak sebulat suara mahukan PRU15 diadakan pada tahun ini juga. Selain itu, Pakatan Harapan juga senada membantah desakan Zahid dan pemimpin UMNO lain kerana PRU15 dalam situasi sekarang mendatangkan lebih banyak mudarat kepada negara.


Tambahan pula, Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu perlu diluluskan oleh Parlimen bagi memastikan matlamat untuk mengukuhkan ekonomi dapat berfungsi seperti diharapkan.


Adalah tidak bertanggungjawab apabila bajet yang dibentangkan menjadi sia-sia kerana perlu dibentangkan semula kerana Parlimen terpaksa dibubarkan sebelum bajet tersebut sempat diluluskan. PRU15 awal juga akan menyebabkan negara kita dilabelkan negara cacamerba kerana sanggup mengetepikan risiko banjir dan pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi pemimpin UMNO.


Tinjauan umum netizen juga menunjukkan yang PRU15 adalah bukan keutamaan ketika ini kerana rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan ekonomi yang sedang mencabar. Berdasarkan banyak petunjuk yang ada, bantahan demi bantahan maka jelaslah bahawa desakan Zahid tidak akan berjaya dan UMNO akan menerima hukuman di peti undi disebabkan kerakusan mereka.


Penulis adalah Mohd Azam Mohd Atan merupakan penganalisis politik dan ekonomi. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.

bottom of page