top of page
  • newsatmy

Desakan Tamat Darurat Bersifat Politik, Mahu Tonjol Diri


Desakan pembangkang supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenarkan bersidang semula, dianggap hanya bersifat politik semata-mata dan demi kepentingan sendiri.


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata tindakan itu juga seperti mahu menunjukkan bahawa pembangkang masih mempunyai peranan, walaupun dalam suasana darurat.


“Jika kita lihat selepas darurat diisytiharkan, pembangkang memang tidak ada isu relevan untuk diketengahkan bagi menarik perhatian rakyat dan menunjukkan keberadaan mereka dalam konteks politik negara kerana ketika ini, tumpuan adalah kepada COVID-19.


“Justeru dengan mendesak darurat ditamatkan dan Parlimen bersidang, itulah satu-satunya cara masih tinggal untuk pihak pembangkang ini menonjolkan diri supaya rakyat melihat mereka masih mempunyai suara dan berada dalam politik negara,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal.


Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Barisan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat ditubuhkan pembangkang yang menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengusulkan supaya darurat ditamatkan di Istana Negara, semalam.


Mohd Zuhdi menegaskan, sepatutnya dalam situasi darurat akibat COVID-19 kini, semua pihak sama ada pembangkang, kerajaan atau mereka yang tidak berparti, memfokuskan kepada masalah pandemik terbabit dan cara menanganinya, malah seharusnya mengurangkan segala isu lain, terutama politik.


Katanya, jika pembangkang mempunyai sebarang pandangan dan tidak berpuas hati berhubung apa-apa isu, perkara itu boleh disampaikan menerusi banyak saluran sedia ada, malah beliau percaya anggota Kabinet sentiasa bersikap terbuka menerima kehadiran mereka untuk berbuat demikian.


Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, pembangkang juga boleh menyuarakan pandangan dan keraguan pihaknya secara terus melalui wakil parti mereka yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.


“Ada 19 wakil dilantik sebagai anggota jawatankuasa ini, termasuk golongan profesional serta wakil parti politik kerajaan dan pembangkang yang saya lihat seimbang, jadi tidak timbul isu jika mereka menyuarakan apa diingini menerusi wakil mereka ini, kenapa perlu serahkan sendiri,” katanya.



bottom of page