• newsatmy

Desas-desus dua ahli MKT dipecat, Annuar Musa anggap ia tindakan kurang bijak

19 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Sebarang pemecatan seseorang individu daripada menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu melalui sidang itu sendiri, tegas bekas Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa.


Dalam catatan terbaharu di Facebook peribadinya, Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan akan memecat dua pemimpin UMNO tanpa proses yang sewajarnya, adalah tidak bijak.


Selain itu, beliau berpandangan, tindakan itu akan juga hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan, dan seterusnya memburukkan nama parti.



“Ramai terkejut bila Presiden (Ahmad Zahid) mengumumkan dua ahli MKT akan dipecat keahlian kerana dikatakan membocorkan rahsia mesyuarat majlis itu. Spekulasi mula berlegar, siapa ahli MKT itu ... satu lelaki, satu wanita.


“Saya tak dapat meneka siapa,lebih lebih lagi saya tidak lagi menghadiri MKT sejak dipecat Presiden daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional. Menurut peraturan, kes disiplin perlu melalui proses pendengaran di hadapan Lembaga Disiplin. Bagi ahli MKT, ia boleh diadili oleh sidang MKT sendiri,” katanya lagi.


Sumber bagaimanapun, memaklumkan seorang daripada individu berkenaan merupakan pengerusi perhubungan UMNO Negeri.


Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid membuat pengumuman demikian ketika di hadapan para ketua bahagian dan sayap Pemuda dan Puteri di Melaka.


Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau melihat tindakan itu berat sebelah, memandangkan ada ahli MKT yang sering menulis perihal mesyuarat secara terbuka, tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.


“Saya yakin mereka itu tidak akan dipecat kerana sebab musababt yang semua orang tahu Saya hanya mampu berdoa agar kepimpinan kekal tenang dan aman. Kebimbangan saya ialah bila melihat parti semakin retak, semakin tak terarah dan sedang menuju ke nowhere.


“Kita dilihat penuh bermasalah, bertelagah dengan semua orang dan akhirnya berselisih sesama sendiri. Musuh sebenar politik tidak pula diserangi,” katanya lagi.

-Astro Awani