top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Dewan Rakyat Lulus RUU PIDM Pindaan 2021

26 Oktober-KUALA LUMPUR

Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) Pindaan 2021 yang bertujuan menambah baik pentadbiran badan tersebut diluluskan secara sebulat suara oleh sidang Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga bagi meminda RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga bagi meminda Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2011 (Akta 720) dengan memasukkan peruntukan baharu.


Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa membuat perbentangan untuk bacaan kali kedua hari ini setelah membentangkan RUU tersebut buat bacaan kali pertama pada 23 September 2021.

Semasa perbentangan hari ini, beliau menjelaskan matlamat penubuhan PIDM adalah untuk mentadbir sistem insurans deposit serta sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans di bawah Akta 720.

“Ianya juga bagi memperuntukkan insurans terhadap kehilangan sebahagian atau kesemua deposit yang baginya anggota penerima deposit adalah bertanggungan dan memperuntukkan perlindungan terhadap kehilangan sebahagaian atau kesemua manfaat takaful atau insurans yang baginya anggota penanggungan insuran adalah bertanggungan.

“Matlamatnya juga adalah untuk mengadakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan dan menggalakkan atau menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan,” katanya.

Menurut Yamani Hafez, industri kewangan telah menjadi semakin kompleks dan dinamik dengan kemunculan teknologi termasuk inovasi baharu, globalisasi, penukaran demografik serta persekitaran pasaran yang sering berubah.


“Ini telah memberikan peluang serta cabaran baharu kepada sektor kewangan di Malaysia,” katanya

Oleh yang demikian, PIDM sentiasa menjalankan kajian dan semakan untuk menambah baik Akta PIDM agar lebih efektif, tangkas, selain mampu memenuhi keperluan sektor kewangan yang cepat berubah.

“RUU PIDM Pindaan 2021 ini adalah perlu dan penting untuk membolehkan PIDM memainkan peranan dan memenuhi mandat dengan lebih cekap serta berkesan.

“Semoga pindaan ini dapat melindungi kepentingan serta memelihara keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan dan insurans, seterusnya megekalkan kestabilan sistem kewangan disamping merangsang pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran Malaysia,” tambahnya.

RUU PIDM hari ini menyaksikan sebanyak 10 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Semasa sesi penggulungan, beliau menjelaskan pindaan RUU ini antara lain akan meningkatkan keberkesanan tadbir urus korporat PIDM, memperkasakan kesediaan dan kecekapan operasi PIDM dalam melaksanakan fungsi termasuk kewajipannya untuk menggalakkan kestabilan sistem kewangan Malaysia.


Selain itu ianya akan meningkatkan keberkesanan pentaksiran premium dan levi institusi anggota PIDM dan meningkatkan keberkesanan pentadbiran, penjelasan, penyelarasan pelaksanaan kuasa PIDM serta membetulkan kesilapan tipografi.

Jelas beliau lagi, Fasal 4 hingga 8 adalah merupakan pindaan untuk meningkatkan keberkesanan dan kebertanggungjawaban tadbir urus Lembaga PIDM.

Sementara itu bagi memperkasakan kesediaan dan kecekapan PIDM dalam melaksanakan tanggungjawab statutorinya, seksyen baharu 97A (di bawah fasal 30) memperuntukkan bahawa PIDM akan merangka, mengkaji semula dan meminda pelan resolusi bagi institusi anggotanya.

Beliau ketika menyentuh mengenai pentaksiran premium dan levi pula berkata fasal 12 hingga 17 (berkenaan dengan anggota penerima deposit), dan fasal 22 hingga 27 (berkenaan dengan anggota penanggung insurans) RUU ini bertujuan memperhalusi pentaksiran premium serta levi bagi institusi anggota PIDM.

“Pindaan ini memperuntukkan cara pentaksiran premium dan levi bagi institusi anggota yang terlibat dalam penggabungan.

“Sekiranya sesebuah institusi anggota bergabung dengan yang lain, institusi anggota tergabung akan ditaksirkan berdasarkan profil risiko institusi anggota tergabung itu.

“Ini akan memastikan pentaksiran premium dan levi yang lebih adil, telus dan setara dengan pentaksiran institusi anggota yang lain,” kata beliau.

Menurutnya lagi, untuk membetulkan kesilapan tipografi, pindaan yang dicadangkan termasuk menyelaraskan tafsiran “deposit konvensional”, “deposit Islam” serta “akaun pelaburan” dalam Akta PIDM dengan tafsiran dalam perundangan Bank Negara Malaysia iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759).

Selain itu RUU berkenaan turut memperjelaskan bahawa pelaburan berkaitan produk derivatif tidak termasuk dalam tafsiran “deposit” dan oleh itu bukan di bawah skop perlindungan PIDM, selain bertujuan mengemaskini termasuk meminda semua rujukan kepada Akta Syarikat 1965 (Akta 125) lama kepada Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang baharu, tambah beliau.

bottom of page