Dijangkiti orang dikenali, ini kisah Nabila Huda mangsa aniaya 'manusia penting diri'
24 Mei 2021
PELAKON dan selebriti Nabila Huda mengaku kecewa dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab sesetangah individu ketika kes COVID-19 masih memuncak di negara ini.
Menyifatkan dirinya amat mementingkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak, Nabila terkilan apabila virus itu dijangkiti daripada seorang individu yang dia kenali.
“Saya dapat tahu, individu yang saya kenali ini bersama rakan-rakan mereka semua positif pada hari itu.
“Ada beberapa orang daripada mereka telah bersama sebelum itu dan telah melakukan ujian swab, mereka positif (COVID-19).
“Saya pula sudah bersama dengan salah seorang rakan (dalam kumpulan) itu kerana kami kerja bersama.
"Saya mula rasa paranoid selepas saya dapat tahu semua mereka yang berada di sana (satu majlis) termasuk teman yang saya kenal ini, turut berada dengan mereka.
“Saya terus buat ujian swab dan saya juga didapati positif.
"Ketika itu, memang berderau darah saya,” katanya dalam temu bual eksklusif menerusi program Stars@AWANI.
Mengakui kesal dengan sikap sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab, Nabila mengambilnya sebagai pengajaran buat diri serta orang di sekelilingnya.
“Apa yang membuatkan saya rasa ralat itu apabila kita menjaga diri….
"Saya ini adalah orang yang teraniaya daripada kecuaian orang; daripada orang yang tidak bertanggungjawab, tidak patuh atau jaga SOP serta pentingkan diri.
“Menjadi antara mangsa, itu yang buat saya jadi macam geram; pada masa yang sama juga ia menjadi pengajaran kepada saya,” katanya.
Sepanjang proses kuarantin, beliau cuba untuk membahagiakan dirinya selain sokongan moral yang diberi oleh ahli keluarga serta rakan-rakan.
Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia tidak kira latar belakang untuk sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, selain elak berjumpa dengan mana-mana individu sekiranya menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19.
-Astro Awani
Comentarios