top of page
  • newsatmy

Direman 5 hari, Pendakwah selebriti dituduh rogol gadis

Updated: Nov 30, 2020






Seorang pendakwah selebriti ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan atas tuduhan merogol seorang gadis pada tahun lalu.


Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Zamir Suhaimee mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap suspek berusia 25 tahun itu.


Suspek dilaporkan memakai baju berwarna hijau tiba di perkarangan kompleks Mahkamah Shah Alam di sini kira-kira pukul 9.32 pagi dan diwakili Peguam Syed Amirul Syed Edrus.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib pada satu kenyataan malam tadi berkata, suspek ditahan selepas hadir ke balai memberi keterangan.


Katanya, sebelum itu mangsa memfailkan laporan polis mengenai kejadian tersebut.


"Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial Instagram kira-kira jam 8 malam pada 11 September tahun lalu.


"Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.


"Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya iaitu sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan," katanya.


Ketika berada di rumah berkenaan, Baharudin berkata mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat terbabit.


"Keesokan harinya, suspek bertindak menghantar mangsa ke lobi dan mangsa menaiki kenderaan pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya menggunakan perkhidmatan e-hailing atau Grab.


"Mangsa yang mengalami tekanan perasaan yang teruk kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu," katanya.


Baharudin berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapatkan rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.


Katanya, mangsa juga ditahan selama lima hari di wad psikiatri.


Menurutnya, pihak hospital berkata mangsa mengalami tekanan perasaan serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan masih menerima rawatan susulan.


Baharudin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

bottom of page