top of page
  • newsatmy

Disahkan positif COVID-19, Zakaria mohon maaf

5 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid yang disahkan positif COVID-19, memohon maaf dan merayu individu atau mana-mana pihak yang mungkin menjadi kontak rapat dirinya agar melakukan ujian calitan sebagai langkah berjaga-jaga.


Atas rasa tanggungjawab dan menyedari jangkitan dialami boleh membahayakan orang lain, Zakaria meminta FINAS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dirinya yang disahkan positif COVID-19, semalam.


Selain Zakaria, isteri dan dua anak mereka disahkan positif COVID-19 selepas beliau pulang daripada lawatan kerja di Kuantan, Pahang, pada 23 April yang lalu.


"Saya memohon maaf kerana menjadi penyebar wabak COVID-19 hingga menyusahkan banyak pihak. Mereka yang bertemu saya selepas tarikh dinyatakan (23 April) boleh membuat ujian calitan bagi mengelak wabak terus merebak.


"Setakat ini, saya dan anak tidak mengalami simptom kronik. Hanya tekak saya perit hingga terpaksa berbuka puasa. Saya bimbang jika puasa diteruskan, keadaan menjadi lebih teruk hingga diserang sesak nafas.


"Selain itu, saya kerap mengantuk dan badan lesu," katanya kepada BH Online.


Ketika ini, Zakaria, isteri dan anak menjalani tempoh kuarantin dalam empat bilik berasingan di rumah, selama dua minggu.


Zakaria berkata, sekembalinya dari Kuantan, isterinya demam dan tidak kebah selepas beberapa hari.


"Keputusan ujian calitan isteri adalah positif. Saya dan anak-anak pula negatif. Namun, kami dikehendaki menjalani satu lagi proses ujian calitan dan disahkan positif, kelmarin," katanya.


Zakaria berkata, Kementerian Kesihatan dimaklumkan masih melakukan ujian bagi mengenal pasti tahap jangkitan dirinya, isteri dan anak-anak.


Tambahnya, pejabatnya di Kompleks FINAS di Hulu Klang juga sudah dilakukan proses sanitasi bagi mengelak virus tersebar.


-Berita Harian

bottom of page